Tonjol penyertaan di peringkat dunia

Tonjol penyertaan di peringkat dunia

KALAU tidak dipecahkan ruyung tidak dapat sagunya. Gagal sekali tidak bererti gagal selama-lamanya. Inilah balasan saya terhadap Pemerhati sukan hoki BSB (Media Permata 18 April 2016).

Untuk makluman biskita, Jabatan Belia dan Sukan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan tidak membiayai perbelanjaan untuk pasukan hoki kebangsaan lelaki dan wanita.

Semua perbelanjaan daripada segi pengangkutan, tempat tinggal dan makanan dibiayai oleh pengurus, jurulatih dan pemain sendiri dan bantuan kewangan daripada sesetengah individu.

Saya berasa kecewa atas sikap dan komen saudara, ini adalah kali pertama negara menyertai kejohanan bertaraf dunia. Tujuan utama pasukan kebangsaan mengikuti pertandingan ini adalah untuk mengharumkan dan mencetak nama Brunei Darussalam ke dalam FIH ranking dunia.

Untuk makluman saudara, kebanyakan pemain-pemain hanya berusia bawah 25 tahun, tujuan jurulatih menyerapkan pemain-pemain muda ke dalam pasukan kebangsaan adalah untuk menjadi pelapis pemain-pemain kebangsaan yang akan bersara.

Sepatutnya saudara harus berbangga kepada pasukan kebangsaan yang hanya dibelasah sampai lapan gol. Pernahkah saudara mendengar atau melihat di mana pasukan wanita Kemboja dibelasah teruk sehingga 36-0 oleh pasukan wanita Malaysia pada kejohanan Sukan SEA 2013?

Adakah ini mematahkan semangat pasukan wanita Kemboja untuk menyertai kejohanan seterusnya? Jawapannya tidak, malah mereka turut menyertai kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang diadakan di Singapura baru-baru ini.  –  Halim Mustaffa (Lim Yeo) Bendahari Agung, Persatuan Hoki Brunei Darussalam

ARTIKEL YANG SAMA