Tonjol variasi bahasa melalui pementasan

Tonjol variasi bahasa melalui pementasan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Empat kumpulan yang merangkumi 36 orang mahasiswa dan mahasiswi dari fakulti yang berbeza di Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengetengahkan penggunaan variasi bahasa melalui pementasan drama yang berlangsung di Dewan Serba Guna Hal Ehwal Pelajar, UBD, di sini, hari ini.

Pementasan Drama Variasi Bahasa ini merupakan sebahagian daripada kerja kursus yang diwajibkan bagi mahasiswa/mahasiswi yang mendaftar Modul AB 1404 Variasi Bahasa, sekali gus mengetengahkan aspek praktikal di samping pengetahuan teoretikal mengenai variasi bahasa.

Drama pemantasan yang mengetengahkan pelbagai tema ini menyelitkan berbagai-bagai bentuk variasi bahasa daripada Bahasa Melayu Standard, Dialek Melayu Brunei dan dialek-dialek etnik dan lokal setempat, sehinggalah bahasa asing seperti Bahasa Inggeris turut digunakan.

Selain itu, elemen-elemen pengajaran turut diselitkan untuk memberi nilai kesedaran dan moral kepada para penonton.

Modul AB 1404 Variasi Bahasa merupakan salah satu modul yang ditawarkan Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD.

Drama pementasan yang mengetengahkan pelbagai tema dengan menyelitkan berbagai-bagai bentuk variasi bahasa.
Drama pementasan yang mengetengahkan pelbagai tema dengan menyelitkan berbagai-bagai bentuk variasi bahasa.

Ia antara lain bertujuan untuk mendedahkan dan meningkatkan pengetahuan, dan kepekaan mahasiswa-mahasiswi terhadap pelbagai isu dan aspek sosial yang berkaitan dengan penggunaan variasi bahasa di Negara Brunei Darussalam.

Dalam hal yang sama, modul ini turut mendedahkan relevansi penggunaan bahasa atau dialek yang tertentu dalam konteks sosial yang bersesuaian, sekali gus meningkatkan lagi kompetensi berbahasa dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.

Selain pendedahan mengenai teknik dan kaedah penelitian variasi bahasa yang lebih komprehensif, pemberigaan terhadap pengetahuan mengenai bahasa-bahasa dan dialek yang wujud di negara ini juga menjadi salah satu faktor signifikan yang wajar diketahui oleh mahasiswa-mahasiswi di UBD sebagai rakyat dan warganegara di negara ini.

Modul AB 1404 Variasi Bahasa ini dikendalikan oleh Dr. Hajah Dayang. Fatimah binti Haji Awang Chuchu, pensyarah kanan Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, manakala itu, pengendali tutorial bagi modul ini ialah Awang Muhammad Najib bin Noorashid.

ARTIKEL YANG SAMA