Tony Fernandes terima pengiktirafan USABC

Tony Fernandes terima pengiktirafan USABC

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) – Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes diberikan Anugerah Tunggak Keempat oleh Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) berikutan sumbangan luar biasanya kepada pertumbuhan ASEAN serta hubungan AS-ASEAN.

Beliau adalah penerima kedua anugerah berkenaan selepas Presiden AS, Barack Obama, kata AirAsia dalam satu kenyataan. Anugerah Tunggak Keempat diberikan kepada individu atau pertubuhan yang mewakili ‘tunggak keempat’, individu yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada pertumbuhan ASEAN serta memupuk hubungan AS-ASEAN yang lebih baik.

Ia disampaikan ketika majlis makan malam Persidangan Komuniti Ekonomi ASEAN 2016 di San Francisco.

Fernandes, yang juga anggota Majlis Penasihat Kelab Perniagaan ASEAN berkata, sudah tiba masanya ASEAN mengambil langkah berani ke arah persamaan dan standardisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menerima pengiktirafan daripada USABC. – Reuters
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menerima pengiktirafan daripada USABC. – Reuters

“Pengawal selia ASEAN perlu segera diwujudkan bagi memastikan standard ASEAN yang seragam. Proses sekarang yang bergantung kepada konsensus yang memerlukan kelulusan daripada semua 10 negara perlu dikaji semula agar inisiatif penting dapat bergerak ke depan.“Kita berharap semua 10 negara anggota akan bersatu kerana ia membolehkan penggunaan sumber yang lebih cekap, ekonomi bidangan yang lebih baik, pengurangan kos serta pertumbuhan lebih pantas untuk rantau itu,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA