Tony juarai Baiduri Masters 2016

Tony juarai Baiduri Masters 2016

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Awang Tony bin Haji Karim muncul juara Kejohanan Baiduri Masters ke-21 apabila berjaya membuat 72 pukulan 1 di atas par yang kemudian menerima pialanya dalam majlis penganugerahan hadiah yang diadakan di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei, di sini.

Berkenan berangkat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah, Ahli Lembaga Pengarah Bank Baiduri.

Berada di tempat kedua ialah Awang Zulhilmi Rosli yang berjaya meraih 73 pukulan 2 di atas par sementara juara tahun lalu Awang Seruji bin Haji Setia turut membariskan dirinya sebagai antara pemenang teratas kejohanan di tempat ketiga dengan 26 pukulan 5 di atas par.

Pemenang lain yang turut menerima hadiah ialah Awang Moksin Junaidi bagi Divisyen A; Ng Hui Hua bagi Divisyen B; Chinta Venisateswara-Rao bagi Divisyen C; Vanessa Boumba Marie Akie bagi Divisyen Wanita dan Awang Irwan bin Haji Ismail bagi Divisyen Junior.

Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah (kanan) berkenan menganugerahkan Piala Baiduri Masters kepada Awang Tony selaku johan Baiduri Masters 2016.
Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah (kanan) berkenan menganugerahkan Piala Baiduri Masters kepada Awang Tony selaku johan Baiduri Masters 2016.

Bagi bahagian berpasukan pula Pasukan Ten Ten yang disertai Awang Johari bin Haji Ahmad, Haji Azaman Daud, Awang Kahar Bakar dan Awang Momin Syawal tampil juara, dalam Divisyen Senior dimenangi Haji Arpan Shahbudin Talip.

Sebelum itu, di awal majlis menjunjung keberangkatan Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof yang berkesempatan menyampaikan sembah alu-aluannya di awal majlis sebelum penyampaian sumbangan cek derma pada majlis itu. Kejohanan yang berlangsung pada 19 hingga 22 Mei dan 27 hingga 29 Mei itu berjaya menarik minat 954 orang peserta dan telah berjaya mengumpulkan $85,000 yang disalurkan kepada lima badan kebajikan.

ARTIKEL YANG SAMA