Tornado landa Sydney, penerbangan diubah haluan

Tornado landa Sydney, penerbangan diubah haluan

SYDNEY, 16 Dis (Reuters) – Tornado yang jarang berlaku melanda Sydney hari ini dengan angin kencang 200 km sejam dan hujan air batu sebesar bola kriket, menumbangkan pokok serta memutuskan talian elektrik, menerbangkan bumbung rumah dan mengakibatkan banjir kilat di bandar terbesar di Australia.

Biro Kaji Cuaca (BOM) mengeluarkan amaran tornado luar biasa pada tengah hari tatkala ribut berbahaya itu melanda pantai dari kawasan selatan Sydney, memaksa beberapa penerbangan antarabangsa dan domestik diubah haluan ke bandar lain.

Seorang saksi Reuters menggambarkan kerosakan meluas di sebuah taman perindustrian di kawasan Kurnell berhampiran pinggir bandar selatan Cronulla.

“Kami benar-benar tidak menerima amaran. Langit secara tiba-tiba menjadi gelap dan kami mengalami guruh petir,” kata Meredith Sullivan, pekerja berusia 48 tahun di taman perindustrian itu.

“Seterusnya angin kencang adalah dahsyat, anda boleh mendengar bumbung mulai terangkat dan serpihan mulai berterbangan. Semua kereta rosak,” katanya.

Sebahagian kenderaan yang ditenggelami banjir selepas tornado melanda bahagian timur Sydney pada 16 Disember 2015. – AFP
Sebahagian kenderaan yang ditenggelami banjir selepas tornado melanda bahagian timur Sydney pada 16 Disember 2015. – AFP

Kurnell, yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang Sydney, ditutup kepada semua kecuali perkhidmatan kecemasan, sedang menilai kerosakan yang dialami. Angin dengan kelajuan 213 ksj sedang dicatat di sana.

“Jelasnya terdapat bukti bahawa kami mempunyai tornado yang melanda Cronulla hari ini,” beritahu ahli kaji cuaca BOM Alan Sharp kepada media Sydney.

Media sosial dibanjiri oleh gambar ribut besar tatkala ia menyelubungi bandar pelabuhan itu, menjerumuskan bandar musim panas dengan suhu 25 darjah Celsius kepada kegelapan.

Sebuah pusat membeli-belah di timur pinggir bandar Sydney juga dikosongkan selepas sebahagian daripada bumbungnya roboh dalam ribut, laporan media menunjukkan, dan seorang wanita mengalami kecederaan ringan.

ARTIKEL YANG SAMA