Toronto Masters: Federer, Nadal berundur

Toronto Masters: Federer, Nadal berundur

TORONTO, 20 Julai – Roger Federer dan Rafael Nadal, semalam menarik diri daripada beraksi di Toronto Masters, minggu depan sekali gus menyertai juara Wimbledon, Andy Murray yang turut memutuskan tidak beraksi.

Perlawanan terakhir juara 17 kali Grand Slam, Federer adalah kekalahan kepada pemain Kanada, Milos Raonic di peringkat separuh akhir Wimbledon.

Jaguh Sepanyol, Nadal yang memiliki 14 gelaran Grand Slam pula tidak bermain sejak menarik diri daripada Terbuka Perancis, Mei lalu atas kecederaan pergelangan tangan.

“Toronto adalah satu daripada kejohanan kegemaran saya dalam kalendar dan saya kecewa yang saya tidak mampu beraksi di depan peminat-peminat tenis yang hebat di Kanada,” katanya legenda kelahiran Switzerland itu kepada badan induk, Tennis Canada.

“Namun jika memandang ke depan, ia adalah yang terbaik buat saya untuk mengambil sedikit masa selepas Wimbledon,” kata Federer yang pernah menang dua kali di kejohanan sama.

Bagi Nadal, dia masih belum pulih daripada kecederaan yang memaksanya menamatkan kempen di Roland Garros dengan hanya dua perlawanan.

“Saya kecewa untuk mengumumkan yang saya tidak mampu untuk datang ke Toronto untuk bermain pada tahun ini,” kata Nadal.

“Saya hanya mula menjalani latihan minggu lalu selepas kecederaan pergelangan tangan dan saya tidak bersedia untuk bermain dalam kejohanan penting seperti ini,” katanya.

Penyandang juara Toronto Masters, Murray mengumumkan penarikan dirinya, Isnin lalu dan memberi alasan dia memerlukan lebih banyak rehat selepas menjulang gelaran ketiga Grand Slam.

Penarikan diri Federer yang menghuni ranking ketiga dunia dan Nadal meninggalkan jaguh Serbia yang juga pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic sebagai pemain tunggal dari kelompok ‘empat terbesar’ beraksi di Toronto. – AFP