Torstein tinggalkan SEB untuk bersama keluarga di Norway

Torstein tinggalkan SEB untuk bersama keluarga di Norway

KUCHING, 13 Okt – Datuk Torstein Dale Sjoveit berkata beliau meninggalkan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk bersama keluarganya di Norway.

Torstein, 61, yang telah berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif SEB selama tujuh tahun berkata beliau tidak memperbaharui kontraknya apabila ia tamat akhir bulan ini.

Beliau berkata lembaga pengarah telah menerima peletakan jawatan beliau sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat milik sepenuhnya kerajaan negeri Sarawak.

“Tiga tahun lepas, saya memberitahu lembaga bahawa yang saya tidak dapat kekal dalam SEB … Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) pun meminta saya kekal tetapi saya benar-benar harus kembali untuk bersama keluarga di Norway,” katanya.

Torstein menjawab soalan daripada para pemberita semasa sesi bertemu media di sini hari ini.

Torstein berkata ia memberi pengalaman yang indah berkhidmat di SEB dan keputusan untuk meletak jawatan dibuat selepas membuat pertimbangan yang lama dan teliti bersama keluarga di Norway.

“Ia adalah suatu keistimewaan yang sangat tinggi bagi saya untuk memimpin 4,500 anak Sarawak di Sarawak Energy sejak tujuh tahun lalu,” kata beliau.

Sementara itu, Sarbini Suhaili, yang kini Naib Presiden Kumpulan bagi Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, dijangka menggantikan Torstein sebagai ketua pegawai eksekutif yang baharu.

Sarbini ialah anak jati Sarawak dari Kuching dan mempunyai pengalaman luas di peringkat dalam negara dan luar negara dalam industri minyak dan gas bersama Shell dan Petronas. – Bernama