Toshiba alami kerugian

Toshiba alami kerugian

TOKYO, 12 Mei (AFP) – Toshiba hari ini menjelaskan bahawa ia mengalami kerugian bersih sebanyak AS$4.4 bilion tatkala konglomerat itu mencatat penurunan nilai yang besar dalam unit nuklear di AS, namun berkata keadaan paling teruk sudah berakhir ketika ia meramalkan keuntungan untuk tahun perniagaan sekarang.

Pernah menjadi tunggak korporat Jepun, Toshiba telah dibelenggu oleh masalah, terutamanya skandal di mana bertahun-tahun lamanya bos mendesak pekerja bawahan supaya menyembunyi keputusan kewangan yang lemah. Dalam satu usaha pengubahsuaian giat, syarikat telahpun mengurangkan perniagaan dan mengumumkan pada Mac ia menjual unit peralatan perubatan kepada pengeluar kamera dan peralatan pejabat Canon.

Toshiba berkata kerugian bersihnya untuk tahun sehingga Mac meningkat kepada 483.2 bilion yen daripada 37.8 bilion yen setahun sebelumnya. Jualan merosot 7.3 peratus kepada 5.7 trilion yen untuk tahun fiskal, sementara ia mencatat kerugian operasi berjumlah 719.1 bilion yen, bertentangan dengan keuntungan operasi sebanyak 188.4 bilion yen setahun sebelumnya.

Toshiba mengumumkan kerugian bersih mereka namun mengumumkan keuntungan untuk tahun perniagaan sekarang. - AFP
Toshiba mengumumkan kerugian bersih mereka namun mengumumkan keuntungan untuk tahun perniagaan sekarang. – AFP

Toshiba berkata kerugian bersih sebahagian besarnya disebabkan kemelesetan dalam sektor elektrik dan infrastruktur sosial, termasuk perniagaan tenaga nuklear, serta kos tambahan yang berkaitan dengan penyusunan semulanya.

Syarikat telahpun mengumumkan penurunan nilai sebanyak 260 bilion yen di unit nuklear AS Westinghouse setelah kenaikan dalam kos kewangan, tetapi berkata 665.5 bilion yen dalam pendapatan daripada jualan unit peralatan perubatan kepada Canon melebihi kesan negatif.

ARTIKEL YANG SAMA