Toshiba pilih konsortium AS beli perniagaan cip

TOKYO, 13 Sept – Syarikat gergasi industri Jepun Toshiba berkata hari ini ia telah memilih satu konsortium dipimpin oleh pelabur AS, Bain Capital sebagai calon utama untuk membeli perniagaan cip dalam satu perjanjian yang dilaporkan bernilai kira-kira AS$18 bilion.

Berita tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam kisah panjang tatkala Toshiba berasa tersepit di antara tiga kumpulan plaintif untuk perniagaan cip yang menguntungkan.

Kumpulan pimpinan Bain Capital juga termasuk Bank Pembangunan Jepun dan Innovation Network Corp Japan serta pengeluar cip Korea Selatan SK Hynix.

Toshiba berkata lembaga pengarahnya akan meneruskan rundingan dengan kumpulan pimpinan Bain Capital selepas ia mengemukakan cadangan baru ketika rundingan.

Gambar yang diambil pada 14 Februari 2017 menunjukkan seorang lelaki melintasi logo Syarikat Toshiba di ibu pejabat syarikat itu di Tokyo. – AFP

“Syarikat akan berusaha mempercepatkan pemeteraian perjanjian pembelian saham pada akhir September,” kata Toshiba.

Bagaimanapun, Toshiba menekankan ia adalah perjanjian ‘tidak eksklusif’ yang ‘tidak menghapus kemungkinan rundingan dengan konsortium lain’.

Plaintif lain adalah kumpulan dipimpin oleh Western Digital, rakan kilang cip Toshiba yang berpangkalan di AS dan Hon Hai Precision di Taiwan, lebih dikenali sebagai Foxconn.

Western Digital yang berpangkalan di California menyuarakan kekecewaan namun menekankan ia masih belum berputus asa dalam bidaannya. – AFP