TOTAL Borneo bawa keceriaan untuk 5 keluarga

TOTAL Borneo bawa keceriaan untuk 5 keluarga

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 1 Julai – Sebanyak lima keluarga susah dan kurang berkemampuan di bawah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut 1 dan 2 di Daerah Belait serta di lima lagi tempat lain di Kampung Serasa, Daerah Brunei-Muara menerima sumbangan amal berupa barang keperluan asasi sempena bulan Ramadan tahun ini.

Sumbangan dihulurkan oleh Syarikat Total E&P Borneo B.V. (TEPB) dan Total E&P Deep Offshore Borneo B.V. (TEPDOB) dengan dibantu oleh MPK Lumut 1 dan 2 bagi Daerah Belait dan MPK Serasa bagi Daerah Brunei-Muara.

Sukarelawan dari TOTAL di Kampung Lumut 1 dan Lumut 2 diketuai oleh Komunikasi Korporat dan Eksekutif CSR, Awang Zulhilmi bin Rambli. Di samping itu, kumpulan tersebut turut diiringi oleh beberapa wakil MPK Lumut, diketuai oleh Awang Ho Chang Fui.

Salah seorang penerima ialah Dayang Sukarelawati binti Ismail, 41, dari Kampung Sungai Tali Lumut 2 yang merupakan seorang balu setelah suaminya meninggal dunia hanya lebih sebulan lalu. Kini, beliau adalah seorang ibu tunggal dengan lima orang anak. Keluarganya kini semua tinggal di rumah ipar mereka.

Dayang Sukarelawati kini menanggung keluarganya dengan mengendalikan gerai makanan di lokasi berhampiran.

Seorang penerima di Kampung Lumut 1 bergambar ramai bersama kakitangan TOTAL Borneo serta ahli-ahli MPK Lumut 1 dan 2.
Seorang penerima di Kampung Lumut 1 bergambar ramai bersama kakitangan TOTAL Borneo serta ahli-ahli MPK Lumut 1 dan 2.

Di samping itu, keluarganya juga menerima bantuan kewangan pada masa-masa tertentu daripada kumpulan Baitul Mal untuk menampung perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.

Sementara itu, sumbangan kepada masyarakat tempatan di Pekan Muara dan Kampung Serasa, Mukim Serasa, diketuai oleh Ketua Sumber Manusia, Komunikasi Korporat dan CSR, Awang Muhammad Rasimoon bin Haj Adinin.

Hadir untuk membantu kumpulan sukarelawan tersebut ialah beberapa wakil dari Majlis Perundingan Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.

Wakil-wakil dari MPK tersebut diketuai oleh Ketua Kampung Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Dengan membanyakkan amalan seperti bersedekah dan mengambil sukut baik dalam bulan Ramadan, Syarikat TOTAL berharap mendapat rahmat dan syafaat daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Projek amal berkenaan merupakan projek tahunan syarikat tersebut dengan harapan projek sedemikian akan berterusan setiap tahun.

Ia adalah bagi membantu kumpulan orang-orang yang susah dan sekali gus menyalurkan khidmat kepada masyarakat keseluruhannya.

ARTIKEL YANG SAMA