Tottenham belum capai standard Eropah

Tottenham belum capai standard Eropah

MONACO, 23 Nov – Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino mengakui pasukannya berhempas-pulas untuk memenuhi tuntutan berkembar beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan Eropah selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara, kelmarin.

Spurs tewas untuk kali ketiga dalam lima perlawanan dalam pertandingan kelab elit Eropah selepas tewas 2-1 kepada Monaco di Stade Louis II, sekali gus menamatkan harapan mereka untuk layak ke pusingan 16 terakhir walaupun ada baki satu lagi perlawanan.

Kelab utara London itu memerlukan satu mata untuk kekal dalam perjuangan Eropah dan menyaksikan penalti Harry Kane pada minit ke-52 berjaya menyamakan kedudukan empat minit selepas Djibril Sidibe meletakkan Monaco hadapan.

Bagaimanapun, pasukan perbandaran itu yang menyaksikan penalti awal Radamel Falcao diselamatkan oleh Hugo Lloris, segera kembali di hadapan dengan gol Thomas Lemar sebelum maju sebagai juara Kumpulan E.

Tottenham hanya menang satu daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan tetapi Pochettino berkata: “Saya rasa ia satu cabaran yang bagus bagi kami untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara dan menunjukkan tahap sebenar kami. Kami kompetitif dalam Liga Perdana dan belum tewas selepas 12 perlawanan.

“Baguslah untuk kami belajar dan cuba lagi pada masa akan datang. Mungkin jika kami berada dalam Liga Juara-Juara musim depan, kami perlu membuat beberapa perubahan.

“Selepas dua setengah tahun kami telah mengurangkan jurang dengan pasukan teratas dalam Liga Perdana Inggeris. Untuk bersaing dalam kedua-dua pertandingan anda perlu banyak berusaha dan menambah lebih banyak kualiti kepada skuad.

“Liga Juara-Juara menuntut tenaga yang sama seperti Liga Perdana dan saya rasa kami sedikit bergelut dengan itu. Saya kecewa tetapi ini merupakan satu pengalaman yang baik untuk kami.”

Tottenham, yang menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana musim lalu, semakin meningkat di bawah Pochettino dan jurulatih dari Argentina itu masih mencari gambaran yang lebih besar untuk menjadikan mereka pelanggan tetap Liga Juara-Juara apabila berpindah ke stadium baru pada 2018.

“Projek kami tidak selesai hari ini. Beberapa minggu lalu saya berkata ini adalah langkah pertama. Objektifnya adalah untuk berada dalam Liga Juara-Juara dengan kerap apabila kami mempunyai stadium baru,” kata jurulatih berusia 44 tahun itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA