Tottenham, England masih berteka-teki

LONDON, 13 Mac – Tottenham dan England masih menunggu jawapan mengenai kecederaan buku lali yang dialami Harry Kane dan menurut laporan, keputusan tidak akan diketahui mengenai tahap kecederaan itu sehingga Selasa.

Penyerang England yang berusia 24 tahun itu akan menjalani imbasan selepas tercedera dalam separuh masa pertama semasa perlawanan menentang Bournemouth yang menyaksikan Spurs menang 4-1, dengan hanya tinggal tiga bulan sebelum Piala Dunia Rusia membuka tirai.

Menurut laporan, bengkak yang dialami Kane pada kaki kanannya perlu berkurangan sebelum maklumat lanjut mengenai kecederaan akan diketahui.

Spurs akan berdepan Swansea dalam saingan Piala FA peringkat suku akhir hujung minggu nanti sementara pengurus England, Gareth Southgate akan menyenaraikan skuadnya untuk perlawanan persahabatan menentang Belanda dan Itali.

Kane yang kini mengumpul 39 gol untuk kelab dan pasukan kebangsaan musim ini meninggalkan stadium di Bournemouth dalam keadaan bertongkat selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan tersebut.

Harry Kane semasa beraksi menentang Juventus 7 Mac yang lalu. Tottenham dan England masih menunggu keputusan mengenai kecederaan yang dialami oleh penyerang England itu. – AP

Musim lepas, Kane mengalami kecederaan yang sama.

Dia terpaksa diketepikan selama tujuh minggu dan terlepas 10 perlawanan kerana kecederaan tersebut dan sekali lagi mengalami kecederaan yang sama semasa menentang Sunderland pada September 2016.

Namun, dia kembali beraksi dalam tempoh sebulan dalam saingan Piala FA menentang Millwall pada Mac lalu.

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino tetap optimistik mengenai kecederaan itu dan mengatakan bahawa Kane tidak mengalami kecederaan teruk.

“Saya harap ia tidak akan menjadi isu yang besar,” menurut pengurus dari Argentina itu. “Dia tidak dapat meneruskan perlawanan selepas mengalami kecederaan buku lali itu.

“Harry mempunyai karakter yang hebat dan sentiasa positif, gembira dengan kemenangan pasukannya dan sudah tentu kecewa mengenai masalah yang dialaminya. Tetapi jika anda sentiasa positif, anda akan memulakan pemulihan dari sekarang.” – AFP