Tottenham Hotspur tumpul di Wembley

Tottenham Hotspur tumpul di Wembley

LONDON, 15 Sept – Permulaan Tottenham Hotspurs di gelanggang baru bagi kempen Liga Juara-Juara di Stadium Wembley bermula dengan langkah kiri selepas tewas 2-1 kepada Monaco.

Gol daripada Bernardo Silva dan Thomas Lemar meletakkan pendahulu Ligue 1 Perancis itu mendahului 2-0 selepas 36 minit perlawanan di stadium kebangsaan England itu.

Spurs mengurangkan defisit menerusi jaringan Toby Alderweireld berpunca daripada tandukan pada penghujung babak pertama dan sekali pun lebih menguasai hampir keseluruhan permainan di separuh masa kedua, mereka gagal memecah kebuntuan.

Tottenham bermain di Wembley pada kempen Liga Juara-Juara bagi memenuhi keperluan peraturan UEFA ketika sebahagian kawasan di Stadium White Hart Lane sedang menjalani proses baik pulih dengan kelab itu juga dijadual untuk berpindah ke gelanggang baru pada 2018.

Di penghujung perlawanan, penyerang England, Harry Kane sekali lagi berpeluang menjaringkan gol namun diselamatkan dengan pemain tengah, Dele Alli mengakui mereka tidak beraksi di tahap terbaik.

Reaksi midfield Spur Dele Alli (tengah) selepas rembatannya tersasar ketika menentang Monaco di Stadium Wembley kelmarin. – AFP
Reaksi midfield Spur Dele Alli (tengah) selepas rembatannya tersasar ketika menentang Monaco di Stadium Wembley kelmarin. – AFP

“Kami bermula dengan buruk…mereka menghukum kami disebabkan perkara itu. Kami sudah melakukan yang secukupnya untuk memenangi perlawanan, namun kami tidak memanfaat segala peluang,” kata Alli.

Kali terakhir Tottenham beraksi di saingan elit Eropah itu ialah pada 2010-2011 dan mara ke suku akhir sebelum tewas kepada Real Madrid bersama dua bekas pemain, Gareth Bale dan Luka Modric yang kini beraksi bersama gergasi Sepanyol itu.

Tampil dengan semangat tinggi dengan Wembley mencatatkan rekod jumlah penonton tertinggi bagi kelab Inggeris di pentas Eropah, 85,011 penonton, semuanya bagai tidak menjadi buat Spurs.

Kekurangan pengalaman di pentas Eropah tampak terdedah dan ia dihukum Monaco yang tiba ke London dengan keyakinan besar selepas mengharungi kempen Ligue 1 tanpa kalah, musim ini.

Sebagai rekod, Wembley yang pernah digunakan Arsenal sebagai gelanggang sendiri dalam kempen Liga Juara-Juara pada musim 1998-99 dan 1999-00 juga tidak berakhir dengan baik.

Kelab yang menjadi musuh tradisi Spurs itu hanya menang dua daripada enam aksi di peringkat Eropah. – AP