Tottenham kekal rekod tanpa kalah

Tottenham kekal rekod tanpa kalah

LONDON, 30 Nov (Agensi) – Tottenham mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi 13 perlawanan musim ini apabila terikat 0-0 menentang Chelsea, yang cuba mempamerkan tanda-tanda kebangkitan di White Hart Lane.

Dalam pertembungan di antara dua kelab London itu, Tottenham hampir mendapatkan jaringan menerusi percubaan penyerang England, Harry Kane.

Malah penjaga gol Spurs, Hugo Lloris melaksanakan tugasnya de¬ngan amat baik ketika berdepan serangan Chelsea apabila berjaya menyelamatkan percubaan tepat Eden Hazard, yang masih gagal mendapatkan gol pertamanya musim ini.

Turut menjadi perhatian dalam perlawanan tersebut adalah keputusan pengurus Chelsea, Jose Mou¬rinho yang langsung tidak memberi kepercayaan kepada penyerang Sepanyol, Diego Costa untuk beraksi.

Pemain kontroversi itu disimpan di bangku simpanan sehingga tamat masa penuh perlawanan, meskipun The Blues buntu untuk mencari jaringan.

Pemain Chelsea, Eden Hazard (kanan) bersaing mendapatkan bola dengan pemain Tottenham, Erik Lamela pada perlawanan di White hart Lane di London, pada 29 November 2015. – Agensi
Pemain Chelsea, Eden Hazard (kanan) bersaing mendapatkan bola dengan pemain Tottenham, Erik Lamela pada perlawanan di White hart Lane di London, pada 29 November 2015. – Agensi

Aksi tersebut juga menyaksikan Tottenham lebih banyak menguasai perlawanan berbanding pasukan pelawat dan keputusan seri itu membolehkan tuan rumah berada dalam kelompok lima terbaik, sekali gus mencerahkan peluang untuk memberikan cabaran memburu gelaran liga musim ini andai terus konsisten.

Dalam pada itu, satu mata yang diraih Chelsea mungkin hanya sedikit membantu pasukan tersebut daripada terjerumus ke zon penyingkiran.

Kini Chelsea hanya mengumpul 15 mata selepas 14 perlawanan dan hanya dipisahkan lima mata dari zon penyingkiran.

Spurs tidak pernah tewas sejak kekalahan 1-0 kepada Manchester United dalam aksi pembukaan liga, Ogos lalu.