Tottenham tewaskan Man City, dekati Leicester

Tottenham tewaskan Man City, dekati Leicester

MANCHESTER, 15 Feb – Christian Eriksen menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 dengan menghadiahkan gol kemenangan Tottenham Hotspur menewaskan Manchester City 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Tottenham kini hanya dua mata dipisahkan daripada puncak liga di belakang Leicester City.

Harry Kane meletakkan kelab dengan jolokan Spurs itu di depan dengan penalti kontroversi pada awal babak kedua, yang juga jaringan peribadi ke-15 penyerang antarabangsa England itu dalam 17 aksi liga musim ini.

City, yang masih belum menewaskan enam pasukan teratas musim ini, mengikat kembali perlawanan menerusi jaringan penyerang muda gantian Kelechi Iheanacho.

Tetapi City terpaksa menelan dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri buat pertama kali sejak Disember 2008 apabila Eriksen menewaskan penjaga gol, Joe Hart pada minit ke-83 untuk meraikan gol keenamnya untuk kempen musim ini.

Aksi kedua-dua pasukan merebut bola pada perlawanan tersebut. – Reuters
Aksi kedua-dua pasukan merebut bola pada perlawanan tersebut. – Reuters

City, yang turut menyenaraikan kapten yang kembali cergas Vincent Kompany dalam pasukan, kini ketinggalan enam mata di belakang peneraju Leicester City, manakala kemenangan kelima berturut-turut Tottenham mencerahkan peluang mereka menjulang kejuaraan liga buat pertama kali sejak 1961.

“Ia sangat penting untuk anda mula merasakan betapa anda boleh datang ke stadium seperti Man City menentang pasukan gergasi dan boleh menang,” kata Pochettino.

“Memang benar penyokong kami boleh mula bermimpi (memenangi kejuaraan liga).” – AFP