Totti gagal cetus impak

Totti gagal cetus impak

MILAN, 10 Jan (AFP) – Kehadiran semula Francesco Totti selepas pulih daripada kecederaan gagal mencetuskan impak buat AS Roma apabila pasukan itu sekadar seri 1-1 dengan AC Milan dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.

Totti kembali beraksi selepas empat bulan berehat susulan masalah kecederaan apabila dia dibawa masuk menggantikan Umar Sadiq pada minit ke-70.

Bagaimanapun, selepas Juraj Kucka memadam jaringan pendahuluan dilakukan Antonio Ruduiger seawal minit keempat, pemain berusia 38 tahun itu gagal membantu Roma yang hanya merekodkan satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir liga. Roma kekal di tangga kelima liga, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Inter Milan yang akan melayan kunjungan Sassuolo, malam ini.

Ia adalah kali kedua Roma keciciran dua mata dalam minggu ini selepas terikat 3-3 dengan Chievo.

Jurulatih Roma, Rudi Garcia nyata terkejut dengan persembahan anak buahnya dengan tumpuan kini terarah terhadap masa depannya sebagai pengendali kelab itu.

“Malam ini (awal pagi tadi) kami seperti ‘Doctor Jekyll and Mister Hyde’. Tumpuan terarah kepada kami pada babak kedua, baik secara mental mahupun fizikal. Kami bermula dengan baik, tetapi saya langsung tidak jangka kami akan beraksi seperti itu pada babak kedua,” katanya.

Pemain tengah, Radja Nainggolan antara salah seorang pemain yang bergelut dengan masalah kecergasan dalam perlawanan itu dan terpaksa dibawa keluar pada babak kedua.

“Ia sesuatu yang tidak baik apabila menyaksikan pemain kamu tidak boleh bertahan selama 90 minit,” kata Garcia.

ARTIKEL YANG SAMA