Toure muncul wira City

Toure muncul wira City

LONDON, 20 Nov – Yaya Toure yang kembali ke dalam barisan kesebelasan utama Manchester City meledak dua gol bagi membantu City menang 2-1 ke atas Crystal Palace sekali gus membolehkan mereka terus menekan kedudukan Liverpool di persada liga.

Ketika momentum Liverpool tersekat selepas sekadar seri tanpa jaringan bertemu Southampton, City akhirnya berjaya mengutip jumlah mata sama dengan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu hasil dua jaringan Toure.

Dengan merehatkan beberapa pemain tonggak bagi menghadapi aksi Liga Juara-Juara bertemu Borussia Moenchengladbach Rabu ini, Guardiola mengambil peluang untuk menurunkan kembali Toure yang tampil buat kali pertama musim ini selepas dia meminta maaf susulan komen yang dikeluarkan oleh ejennya terhadap pasukan dan pengurus.

Toure membalas kepercayaan pengendali Sepanyol itu menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-39 sebelum meledak gol kemenangan pada minit ke-83 selepas Connor Wickham menyamakan kedudukan di babak kedua.

Yaya Toure yang kembali menyertai kesebelasan utama City meledak dua gol dalam perlawanan tersebut. - AP
Yaya Toure yang kembali menyertai kesebelasan utama City meledak dua gol dalam perlawanan tersebut. – AP

Selepas pertengkaran lebih tiga bulan membabitkan dirinya, ejen dan Guardiola, bintang Ivory Coast itu nyata beremosi ketika dia mendapat tepukan daripada rakan sepasukannya ketika menuju ke bilik persalinan.

“Mereka sentiasa menyokong saya dan saya mahu berada di sini untuk membantu mereka. Saya seorang yang profesional dan sering mahu meningkatkan kualiti persembahan saya,” katanya kepada BBC.

“Saya bersedia sepenuhnya kerana tahu pengurus pastinya akan memerlukan khidmat saya. Anda perlu sentiasa kekal profesional.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA