Tourism Malaysia promosi destinasi membeli-belah menarik

Tourism Malaysia promosi destinasi membeli-belah menarik

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Tourism Malaysia, hari ini, telah menganjurkan sesi seminar membeli-belah dan pameran pelancongan bagi menarik lebih ramai rakyat Brunei untuk membeli-belah di Malaysia, yang dihadiri oleh kira-kira 150 orang wakil ejen-ejen pelancongan Brunei, persatuan pelancongan, media dan sektor swasta.

Dengan diketuai oleh Pengarah Promosi Domestik Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof, acara yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun itu memberi peluang kepada delegasi Malaysia, yang terdiri daripada sembilan pengendali pusat membeli-belah dan produk pelancongan, untuk mempromosikan tarikan mereka.

Delegasi Malaysia yang mengambil bahagian dalam seminar dan pameran pelancongan termasuk IOI City Mall; Jakel Mall; Suria Sabah Shopping Mall; Sogo KL Department Store Sdn Bhd; Sunway Pyramid; Sunway Putra Mall; Mitsui Outlet Park KLIA Sepang; Batu Road Retailers Association (BARRA) dan Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK).

“Tourism Malaysia gembira untuk menyediakan platform bagi pengusaha produk pelancongan kami seperti pusat-pusat membeli-belah, persatuan membeli-belah dan pengendali produk pelancongan, mempromosikan diri mereka dan Malaysia sebagai syurga membeli-belah (shopping haven).

“Kami telah menjemput rakan-rakan berpotensi Brunei ke seminar dan pameran pelancongan ini dan mengalu-alukan perkongsian dan kerjasama antara kedua-dua pihak untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Brunei memilih Malaysia sebagai tempat percutian untuk bersantai dan membeli-belah,” jelas Iskandar semasa seminar berkenaan.

Iskandar (tengah) bersama para delegasi Malaysia ketika sidang media tersebut.
Iskandar (tengah) bersama para delegasi Malaysia ketika sidang media tersebut.
Phang Sau Lian ketika memberikan penerangan pada seminar tersebut.
Phang Sau Lian ketika memberikan penerangan pada seminar tersebut.

“Saya percaya kadar pertukaran mata wang yang menggalakkan, waktu lintasan sempadan yang dilanjutkan sehingga tengah malam, dan kepelbagaian tarikan pelancong di Malaysia, adalah faktor-faktor yang akan menarik lebih ramai rakyat Brunei untuk membeli-belah di Malaysia,” katanya lagi, merujuk kepada lanjutan waktu pembukaan sempadan darat dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam (sebelum ini hanya sehingga jam 10 malam) yang diperkenalkan pada September tahun lepas.

Beliau juga berkata, membeli-belah adalah sektor yang menguntungkan industri pelancongan Malaysia.

“Pada September 2015, perbelanjaan pelancong untuk membeli-belah mencatatkan RM15.34 bilion atau 30 peratus daripada jumlah pendapatan sebanyak RM51.08 bilion. Ia merupakan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2014.”

Kejayaan Malaysia boleh dikaitkan dengan strateginya mempromosikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah holistik yang, selain daripada membeli-belah nilai-untuk-wang (value-for-money), juga menyediakan pengalaman percutian, kesihatan dan gaya hidup kepada pelancong.

Tahun ini, kempen membeli-belah Malaysia terdiri daripada acara jualan tiga kali setiap tahun, iaitu Jualan Super 1Malaysia sepanjang bulan Mac; Karnival Jualan Mega 1Malaysia dari 15 Jun hingga 31 Ogos; dan Jualan Hujung Tahun 1Malaysia dari 1 November hingga 31 Disember 2016.

Brunei merupakan negara yang kekal sebagai nombor lima dalam 10 teratas pasaran penjanaan bagi Malaysia, dan telah mencatatkan kedatangan pelancong lebih daripada 830,000 sehingga September tahun lepas.

Brunei turut disenaraikan sebagai 10 teratas dalam belanja harian di Malaysia bagi tahun 2014 dengan perbelanjaan purata RM663.60 dengan pertumbuhan sebanyak 21.6 peratus berbanding pada tahun 2013.

Membeli-belah juga kekal sebagai komponen paling tinggi perbelanjaan Brunei dengan 45.5 peratus, berbanding dengan komponen lain yang disenaraikan seperti penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan tempatan, hiburan, tambang domestik, lawatan yang dianjurkan dan lain-lain.

ARTIKEL YANG SAMA