Townsend kembali ke pangkuan Hotspur

Townsend kembali ke pangkuan Hotspur

pg22_151123_b

LONDON, 22 Nov (Reuters) – Pemain sayap Andros Townsend kembali ke pangkuan Tottenham Hotspur selepas digugurkan dua perlawanan berikutan masalah disiplin, menurut pengurus Mauricio Pochettino semalam.

Pemain England itu terbabit dalam perbalahan dengan salah seorang jurulatih kecergasan kelab itu selepas kemenangan ke atas Aston Villa awal bulan ini.

Namun kini pemain berkenaan dipertimbangkan untuk perlawanan derby London menentang West Ham United di laman sendiri.

“Andros mula berlatih dengan skuad ini sejak Selasa,”kata Pochettino.

“Dia meminta maaf atas masalah yang dicetuskannya itu. Dia masih muda dan perlu memperbaiki dirinya.

“Bagi saya apa yang berlalu biarlah berlalu. Kami perlu memberikannya peluang untuk terus bersama pasukan.”

Spurs masih lagi belum mencatat kekalahan liga sejak awal musim ini dan kini di tangga kelima, berkongsi 21 mata dengan West Ham yang berada di tangga keenam, lima mata di belakang pendahulu Manchester City.

Pada pertemuan terakhir mereka Februari lalu, Tottenham bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mencuri mata dengan dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir.

Pemain sayap Argentina Erik Lamela digantung dan pemain tengah Nabil Bentaleb, yang tidak diturunkan mewakili Spurs sejak Ogos cedera buku lali ketika mewakili Algeria.

Penyerang Belgium, Nacer Chadli juga tidak dapat beraksi dengan kecederaan buku lali manakala Son Heung-min dijangka beraksi selepas menjaringkan dua gol untuk Korea Selatan.