Townsend selamatkan kedudukan Newcastle

Townsend selamatkan kedudukan Newcastle

LONDON, 1 Mei (AP) – Kurang daripada 24 jam sebelum perhatian bola sepak global jatuh pada Leicester dalam usaha untuk memenangi peringkat teratas buat kali pertama, Newcastle pula mempamerkan aksi terbaik dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Sepakan percuma daripada Andros Townsend membenarkan Newcastle meraih kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace sekali gus menyuntik harapan mereka untuk terus berada dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

“Kemenangan ini bermakna banyak, ia memberikan kita momentum, keyakinan dan sambungan dengan peminat,” kata pengurus Newcastle Rafa Benitez.

Jaringan Townsend pada minit ke-58 itu menerjah masuk gawang gol dari jarak 25 meter, seterusnya merekodkan empat perlawanan tanpa kalah buat pasukan the Magpies.

“Tiga mata yang sangat penting,’ kata Townsend.

“Pasukan sedang berusaha keras dan ia tiga mata yang amat penting.”

Sepakan penalti oleh bekas pemain Newcastle, Yohan Cabaye diselamatkan penjaga gol Karl Darlow selepas Papiss Cisse dipersalahkan kerana bola terkena tangan.

“Ia satu saat manis buat saya apabila dapat menyelamatkan sepakan penalti itu. Kami perlu terus berusaha dan memastikan yang kami dapat mengelak daripada tersingkir,” kata Darlow.

Newcastle kini berada di luar zon penyingkiran dengan berada di tangga ke-17, dua mata di atas Norwich yang menduduki tangga ke-19 manakala Crystal Palace kekal di tangga ke-16.