Toyota Classics 2015 Edisi ke-21 janjikan yang terhebat

Toyota Classics 2015 Edisi ke-21 janjikan yang terhebat

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Para penggemar muzik klasik tempatan pasti akan teruja menantikan kemunculan Teater Opereta dan Muzikal Budapest yang akan mengadakan persembahan di negara ini sempena persembahan Toyota Classics 2015 Edisi ke-21.

Persembahan orkestra teater yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam 10 Oktober 2015 di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong itu dijangka menerima sambutan hangat tidak hanya kerana reputasi kumpulan teater itu dan kesan akustik berkualiti dewan itu, malahan semua hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Pusat Ehsan Kampung Bengkurong dan Dana Ihsan An Nur Harapan.

Konsert itu akan dipimpin oleh konduktor terkenal, Laszlo Maklary yang memenangi Hadiah Artisjus dan Anugerah Artis Kehormat Hungary, dengan diiringi oleh penyanyi solo tersohor, Anita Lucacs, Zsolt Vadasz Gergely Boncser, Monika Fischl, Szilvi Szendy dan David Szabo.

Toyota Classics 2015 Edisi ke-21 pada 10 Oktober ini akan menampilkan orkestra terkemuka, Teater Opereta dan Muzikal Budapest.
Toyota Classics 2015 Edisi ke-21 pada 10 Oktober ini akan menampilkan orkestra terkemuka, Teater Opereta dan Muzikal Budapest.

Dalam kenyataannya, hari ini, pengedar Toyota tempatan NBT (Brunei) Sdn Bhd menyatakan, konsert amal itu pasti memukau penonton dengan gabungan persembahan teater yang disulami dengan persembahan muzik klasikal seperti West Side Story dan Phantom Of The Opera.

Sementara itu, persembahan opera yang dipilih termasuk The Bat oleh Johann Staruss II, Gypsy Love, The Land Of Smiles dan The Merry Widow oleh Franz Lehar serta The Countless Maritza dan The Gypsy Princess oleh Emmerich Kalman.

Selain itu, turut dipersembahkan ialah dua persembahan tempatan bertajuk Kalungan Selendang dan Joget Baju Putih.

Pengarah Urusan NBT, Ninan Chako berkata, tiket-tiket akan dijual di kesemua pusat pameran Toyota dan Lexus, oleh itu penggemar seni muzik klasikal boleh mendapatkannya secepat mungkin sebelum kehabisan.

ARTIKEL YANG SAMA