Toyota Fortuner terkini di pasaran

Toyota Fortuner terkini di pasaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Model terbaru kereta pacuan empat roda Toyota, Fortuner yang tampil dengan wajah serta ciri baru kini memasuki pasaran Brunei dengan pelancarannya di Dewan Pameran Toyota, NBT Gadong, hari ini.

Pelancaran itu menyaksikan dua variasi model terbaru Toyota Fortuner diperkenalkan ke pasaran negara ini iaitu Fortuner dengan enjin Diesel 3.0 Liter (auto), 4 silider, 16 valve DOHC Turbo dan fuel injection dengan susur biasa serta merupakan model pacuan empat roda.

Satu lagi adalah, Fortuner dengan enjin Petrol 2.7 Liter (Auto) 4 silinder,16 valve DOHC serta fuel injection elektronik serta merupakan model pacuan dua roda.

Fortuner terbaru itu menawarkan ciri-ciri hebat yang memenuhi cita rasa para penggemar kereta berkenaan seperti prestasi lebih nilai untuk wang, reka bentuk yang lebih menarik dan menawan dengan mengutamakan keselesaan penumpang serta ciri-ciri keselamatan yang lebih hebat.

Toyota Fortuner terbaru yang dilancarkan untuk pasaran Brunei.
Toyota Fortuner terbaru yang dilancarkan untuk pasaran Brunei.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengurus Jualan Baiduri Finance Bhd, Haji Muhd Ali bin Haji Metussin, Penyelia Jualan Kanan Baiduri Finance Bhd, Dayang Siti Norarieservinna Mahdeli, Pemangku Pengurus Besar Takaful Brunei Am, Awang Barudin bin Haji Kudil dan Penolong Pengurus Besar, Takaful Brunei Am, Haji Hisham bin Haji Mohd Taib.

Pengurus Besar Kanan bagi Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan NBT, Haji Ahmad Omar Husin pada majlis itu menyatakan bahawa walaupun Toyota Fortuner merupakan salah sebuah model kereta dipercayai yang sudah berada di pasaran selama 11 tahun tetapi model terbaru yang dilancarkan itu perlu diuji pandu sendiri oleh para pemandu untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan terkini yang ditawarkan oleh model itu.

Oleh itu, Haji Ahmad mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menguji pandu sendiri Fortuner terbaru dengan berkunjung ke dewan-dewan pameran Toyota yang terdekat.

Sementara itu, Pengurus Jualan Besar NBT, Leong Cheng Soon menyatakan penghargaan kepada semua yang hadir untuk sama-sama meraikan pelancaran Toyota Fortuner terbaru itu.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pelanggan NBT bagi sokongan berterusan mereka untuk Toyota dan NBT.

ARTIKEL YANG SAMA