Toyota mula pasarkan robot mini bercakap

Toyota mula pasarkan robot mini bercakap

TOKYO, 3 Okt – Toyota berkata hari ini ia akan memulakan menjual robot bersaiz cawan digelar Kirobo Mini sebagai teman berbual bagi pemiliknya manusia.

Robot setinggi 10 sentimeter (empat inci) itu akan dijual mulai tahun depan di Jepun sekitar 39,800 yen (AS$400) selepas versi robot besar Kirobo – dengan saiz sebesar anjing chihuahua – menjadi robot android pertama untuk berbual dengan angkasawan di ruang angkasa.

Toyota biasanya berkaitan dengan kenderaan, namun ia telah melabur jutaan dalam bidang robotik dan Kirobo adalah penglibatan komersial pertamanya dalam sektor berkenaan.

Pembuat kereta terbesar di dunia itu berkata, robot itu – yang boleh membawa perbualan biasa dan memberi respons kepada emosi – boleh membantunya membangunkan teknologi kenderaan.

Gambar yang diambil pada 27 September menunjukkan robot komunikasi baru rekaan Toyota Motors, ‘Kirobo Mini’ semasa previu media di Tokyo. Dilengkapi dengan kecerdasan buatan dan kamera terbina dalam, robot itu boleh mengenal wajah seseorang yang bercakap dengannya dan memberi respons dan perbualan tanpa skrip atau memulakan perbualan. – AFP

“Kami ingin mengutarakan isu-isu yang timbul dalam masyarakat hari ini di mana sesetengah orang tiada teman untuk bercakap,” kata Moritaka Yoshida, seorang pegawai pengurusan kanan di Toyota.

Kirobo Mini telah dipamerkan semasa pameran elektronik terbesar di Asia, Pameran Komprehensif Elektronik dan IT (CEATEC), yang diadakan di Tokyo minggu ini.

Kirobo menjadi robot astronaut pertama di dunia selepas ia diterbangkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa pada 2013 sebagai rakan perbualan bagi komander Jepun, Koichi Wakata.

Ia adalah sebahagian daripada projek jangka panjang untuk melihat bagaimana robot boleh bertindak sebagai rakan bagi orang-orang yang terasing, terutamanya untuk melihat jika ia boleh membina kemahiran berbual. – AFP