Toyota Sienta kini di Brunei

Toyota Sienta kini di Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Para penggemar kereta jenama Toyota terutama kenderaan pelbagai guna (MPV), kini boleh memiliki kereta MPV terbaru keluaran Toyota, dinamakan Sienta, yang dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Negara Brunei Darussalam dalam majlis yang diadakan di ruang legar, Kompleks Membeli-belah, Times Square, Berakas, hari ini.

Pada majlis itu, NBT (Brunei) Sdn Bhd melancarkan dua variasi Sienta iaitu Sienta 1.5 dengan transmisi 6-kelajuan dan Sienta 1.5 CVT dengan transmisi automatik 7-kelajuan tetapi kedua-duanya mengetengahkan teknologi enjin terkini daripada Toyota iaitu Enjin 2NR-FE dengan teknologi dual VVT-i, 4 silinder, 16 valve DOHC.

Sienta menawarkan ciri-ciri hebat yang memenuhi cita rasa para pengguna termasuk kabin yang luas iaitu boleh memuatkan sehingga tujuh orang penumpang, prestasi lebih nilai untuk wang, reka bentuk yang lebih menarik, moden dan menawan dengan mengutamakan keselesaan penumpang serta ciri-ciri keselamatan terkini.

Ia juga mengetengahkan pelbagai ciri MPV moden seperti pintu gelongsor di belakang, sistem kunci pintar (bagi Sienta 1.5 CVT, automatik 7-kelajuan) dan sistem penghawa dingin di ruang belakang kenderaan.

Toyota Sienta baru yang dilancarkan untuk pasaran Brunei.
Toyota Sienta baru yang dilancarkan untuk pasaran Brunei.
Ninan bersama para jemputan lain bergambar ramai selepas pelancaran Toyota Sienta.
Ninan bersama para jemputan lain bergambar ramai selepas pelancaran Toyota Sienta.

Kereta terbaru keluaran Toyota itu dirasmikan bersama oleh Timbalan Pengerusi NBT, Ninan Chacko dengan wakil-wakil syarikat pembiayaan serta pihak pengurusan kanan NBT (Brunei) Sdn Bhd.

Di majlis itu, Pengurus Besar Kanan bagi Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan, Haji Ahmad Omar Husin berkata bahawa Toyota Sienta itu merupakan MPV terbaru yang sesuai untuk seisi keluarga dengan nilai untuk wang dan yakin para pengguna di Brunei akan menyukai kenderaan itu.

Sementara itu, Pengurus Jualan Besar NBT, Leong Cheng Soon menyatakan penghargaan kepada semua yang hadir untuk sama-sama meraikan pelancaran Toyota Sienta itu.

Ruang kabin Toyota Sienta yang dilengkapi dengan teknologi terkini.
Ruang kabin Toyota Sienta yang dilengkapi dengan teknologi terkini.
Dilengkapi dengan teknologi enjin terkini daripada Toyota iaitu Enjin 2NR-FE dengan teknologi dual VVT-i, 4 silinder, 16 valve DOHC.
Dilengkapi dengan teknologi enjin terkini daripada Toyota iaitu Enjin 2NR-FE dengan teknologi dual VVT-i, 4 silinder, 16 valve DOHC.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pelanggan NBT atas sokongan berterusan mereka untuk Toyota dan NBT.

Beliau juga berkata bahawa Sienta terbaru kini sudah boleh ditempah tetapi ia hanya akan dapat dihantar kepada para pembeli pada September nanti kerana jumlah tempahan yang di luar jangkaan di Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

Pihak NBT mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk melihat sendiri Toyota Sienta terbaru itu dengan berkunjung ke pameran kereta Toyota di Times Square bermula hari ini hingga 7 Ogos, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Mereka yang berminat untuk menguji pandu Sienta terbaru itu, dinasihatkan untuk membuat temu janji di dewan-dewan pameran Toyota yang terdekat.

ARTIKEL YANG SAMA