Toyota tubuh unit penyelidikan bernilai AS$1b

Toyota tubuh unit penyelidikan bernilai AS$1b

TOKYO, 6 Nov (AFP) – Toyota berkata hari ini ia akan menubuhkan unit penyelidikan dan pembangunan baru berjumlah $1 bilion yang menumpu pada risikan tiruan di Silicon Valley di Amerika Syarikat.

“Toyota percaya risikan tiruan mempunyai potensi besar untuk menyokong teknologi industri masa depan dan penubuhan industri baru,” kata pengeluar kereta nombor satu di dunia itu dalam satu kenyataan.

“Untuk memperkukuh kepercayaan ini, ia sedang membuat pelaburan awal sebanyak $1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Toyota Research Institute Inc, akan beribu pejabat di Silicon Valley berhampiran Universiti Stanford, dan kilang kedua akan bertempat berhampiran Institut Teknologi Massachusetts (MIT), dengan operasi bermula pada Januari tahun depan, katanya.

Toyota Motor Corporation (TMC) Presiden Akio Toyoda menjawab soalan semasa sidang akhbar pengumuman penubuhan Pusat Penyelidikan Toyota di Tokyo semalam. – AFP
Toyota Motor Corporation (TMC) Presiden Akio Toyoda menjawab soalan semasa sidang akhbar pengumuman penubuhan Pusat Penyelidikan Toyota di Tokyo semalam. – AFP

Pengumuman itu keluar tatkala pengeluar kereta bersaing untuk menghasilkan teknologi pemanduan autonomi yang banyak bergantung pada kemajuan dalam risikan tiruan.

Ford, Mercedes-Benz, Volkswagen dan Nissan juga telah menubuhkan pusat kejuruteraan berhampiran ibu pejabat Google di Silicon Valley untuk menumpu pada teknologi pemanduan automatik.

Toyota mengesahkan ia akan melabur secara berasingan sebanyak $50 juta dalam tempoh lima tahun akan datang dengan MIT dan Stanford ‘untuk menubuhkan pusat penyelidikan risikan tiruan di universiti masing-masing.”