TPM Australia letak jawatan

CANBERRA, Australia, 23 Feb – Timbalan Perdana Menteri Australia meletak jawatan dari Kabinet hari ini ekoran berdepan pertuduhan melakukan gangguan seksual, tetapi berkata dia tidak akan berundur dari parlimen.

Dengan kekal dalam parlimen, Barnaby Joyce memastikan majoriti satu kerusi Perdana Menteri Malcolm Turnbull dalam Dewan Perwakilan terus dipertahankan.

Dakwaan gangguan seksual menambah lagi penelitian ke atas Joyce sejak berita-berita itu didedahkan awal bulan ini bahawa dia dan bekas setiausaha media, Vikki Campion dijangka menimang anak pada April nanti.

Persoalan dibangkitkan tentang pekerjaan Campion dalam dua jawatan kerjaan selepas bekerja di pejabat Joyce tahun lalu dan menyewa percuma pangsapuri milik penderma kaya politik, yang mana kini pangsapuri itu didiami bersama oleh Joyce dan Campion. Joyce berkata partinya, Parti Nasional, rakan rendah dalam parti campuran yang memerintah, akan memilih pemimpin baharuru pada Isnin.

Gambar fail pada 5 Julai 2016 menunjukkan Barnaby Joyce ketika bercakap dalam sidang akhbar di Sydney. Timbalan Perdana Menteri Australia itu meletak jawatan dari Kabinet kelmarin ekoran berdepan pertuduhan melakukan gangguan seksual. – AFP

“Adalah amat penting wujud pelindung, bukan saja bagi parlimen, tetapi lebih penting pelindung untuk Vikki, untuk anak saya bakal dilahirkan, anak-anak perempuan saya dan bagi Nat,” dia memberitahu para pemberita, dengan merujuk isterinya yang tidak lagi tinggal bersamanya yang telah dikahwininya selama 24 tahun dan ibu kepada empat orang perempuannya, Natalie Joyce. Siapa saja yang dipilih oleh ahli undangan Nasional sebagai pemimpin baharu mereka pada hari Isnin nanti akan menjadi timbalan perdana menteri. Joyce, yang telah menerajui partinya sejak pilihan raya pertengahan 2016, berkata dia tidak akan menerima sebarang portfolio menteri. Selain memegang jawatan timbalan perdana menteri dia juga adalah menteri infrastruktur dan pengangkutan.

Peletakan jawatan itu dibuat pada hari terakhir cuti peribadi seminggu yang diambil Joyce dalam usaha mengelak menjadi pemangku Perdana Menteri ketika Turnbull berada di Amerika Syarikat untuk lawatan rasmi. – AFP/Bernama