TPM kunjungi Ketua Menteri Sarawak

TPM kunjungi Ketua Menteri Sarawak

SANTUBONG, 7 Ogos (Bernama)  – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengunjungi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di kediamannya di Damai Jaya, kira-kira 30km dari bandar raya Kuching.

Ini adalah kunjungan pertama beliau ke atas ketua menteri Sarawak sejak dilantik ke jawatan timbalan perdana menteri minggu lepas.

Ketibaan beliau yang diiringi Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada kira-kira pukul 5 petang disambut oleh Adenan dan isteri Puan Sri Jamilah Anu.

Beliau yang tiba di Sarawak petang tadi dijadualkan menghadiri Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Sarawak dan Sambutan Hari Raya di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada sebelah malamnya.

Ahmad Zahid yang mengadakan pertemuan tertutup selama lebih sejam, meninggalkan Damai Jaya pada kira-kira pukul 6.20 petang, dan esok beliau dijadualkan mengunjungi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Demak Jaya, sebelum berlepas pulang ke Putrajaya.