TPM lawat baraj Sungai Sarawak

TPM lawat baraj Sungai Sarawak

KUCHING, 5 Jan (Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi melawat baraj atau bendungan Sungai Sarawak di sini yang merupakan sebahagian daripada Skim Pengawalan Sungai Sarawak (SSRS).

Beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang tiba di baraj yang merentangi Sungai Sarawak di Sejingkat itu kira-kira 9.40 pagi.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Kontroller Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS), William Jinep.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kemudiannya diberi penerangan mengenai fungsi baraj dalam menebat atau mengurangkan banjir di Kuching.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat baraj (Barrage) dan Shiplock yang diguna untuk mengawal banjir. Beliau tiba malam tadi untuk lawatan kerja dua hari. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat baraj (Barrage) dan Shiplock yang diguna untuk mengawal banjir. Beliau tiba malam tadi untuk lawatan kerja dua hari. – Bernama

Selepas kira-kira 20 minit meninjau keadaan di baraj itu, Timbalan Perdana Menteri kemudiannya beredar ke Wisma Bapa Malaysia, bangunan pentadbiran kerajaan negeri, bagi mendengar taklimat bencana banjir.

Baraj yang turut mengandungi kekunci “shiplock”, sebuah jejambat dan dua tambak, satu merentangi Sungai Santubong di Bako dan satu lagi di Sungai Sarawak di Pending adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan merupakan sebahagian daripada SSRS.

Projek SSRS yang menelan kos RM150 juta itu merupakan ilham bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, dan dilaksanakan pada Mei 1995 dan siap pada Ogos 1998.

Reka bentuk baraj dibuat berdasarkan keadaan banjir yang berlaku pada 1963 dengan tambahan maklumat pakar-pakar dari Britain dan Denmark.

Struktur itu telah menunjukkan keberkesanannya dalam menebat atau mengurangkan banjir di Kuching.

Sementara itu, selepas mendengar taklimat mengenai banjir di Sarawak di Bilik Gerakan Negeri, Ahmad Zahid turut memuji mengenai pendekatan jangka panjang yang diguna pakai oleh kerajaan negeri Sarawak dalam menangani masalah banjir adalah yang terbaik dalam negara dan wajar dicontohi negeri lain.

Sebagai contoh, katanya, pembinaan empangan serta bendungan rendah yang dapat mengawal paras air di sungai dan disesuaikan dengan keperluan semasa, di samping keberkesanan gerakan bersepadu oleh pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) yang diterajui Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Menurutnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengemukakan pengalaman di Sarawak itu dalam kertas memorandum untuk dibincangkan oleh jemaah menteri.