TPM mahu usaha dakwah melalui Internet diperluas

TPM mahu usaha dakwah melalui Internet diperluas

PUTRAJAYA, 11 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin menggesa supaya penyebaran dan usaha dakwah melalui Internet diperluaskan seiring penggunaan media tradisional.

Beliau berkata penyampaian dakwah melalui Internet merentasi sempadan serta mampu menyasarkan segenap lapisan bangsa.

“Melalui kaedah ini, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan mengikut cita rasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini kelmarin.

Mesyuarat lebih dua jam yang dipengerusikan beliau itu turut dihadiri Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalam dengan Datuk Dr Haron Din selepas Mesyuarat Induk Perundingan Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalam dengan Datuk Dr Haron Din selepas Mesyuarat Induk Perundingan Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin. – Bernama

Katanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ledakan media baharu dikenal pasti antara punca berlakunya pelbagai krisis dalam masyarakat, dan peredaran maklumat dari pelbagai saluran media massa tidak berautoriti menyebabkan sesetengah isu mudah diputar belit pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita dapati sebahagian isu-isu bersifat terpencil sering kali diperbesarkan untuk memburukkan imej Islam dan melakukan ‘pembunuhan karakter’ terhadap institusi agama, ketua jabatan agama, para mufti dan juga ilmuan Islam,” katanya.

Ahmad Zahid berkata walaupun usaha yang diambil pihak berkuasa agama dilihat dapat mengawal arus berita palsu, namun dalam masa yang sama berita yang berunsur negatif masih tetap dihebahkan.

Ini katanya, merupakan cabaran yang perlu diambil para pendakwah untuk berdakwah bagi mengikis sikap tersebut dalam kalangan masyarakat sama ada melalui media massa, elektronik mahupun media sosial.

Ahmad Zahid turut menekankan penggunaan media baharu dalam Islam harus lebih menekankan konsep ketakwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan. – Bernama