TPM Vietnam terima kunjungan Pehin Lim

TPM Vietnam terima kunjungan Pehin Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Vietnam akan bekerjasama rapat dengan Brunei untuk memastikan lawatan yang akan datang Presiden Tran Dai Quang ke negara ini membuahkan kejayaan.

Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Pham Binh Minh berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng di Vientien, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin berada di Vietnam bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN ke-49 yang berlangsung mulai 23 hingga 26 Julai.

Menurut laporan portal berita VietNamNet hari ini, pada mesyuarat tersebut kedua-dua pihak komited untuk memulakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei-Vietnam mengenai kerjasama dua hala tahun ini, untuk melaksanakan hasil lawatan itu dengan segera, sekali gus menyumbang kepada mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Dalam membincangkan langkah-langkah untuk menggalakkan pelaburan ekonomi dan perdagangan, kedua-dua pihak juga memandang ke arah kesimpulan awal rundingan dan menandatangani perjanjian galakan dan perlindungan pelaburan Brunei-Vietnam sambil menyediakan semua sokongan untuk perniagaan kedua-dua negara.

Brunei juga berjanji untuk mempertimbangkan cadangan Vietnam bagi memudahkan akses perniagaan kepada pasaran Brunei dan meningkatkan kerjasama dalam sektor tenaga, minyak dan gas dengan menjadikan PetroVietnam lebih mudah untuk membekalkan perkhidmatan di Brunei atau bekerjasama dengan rakan kongsi Brunei untuk beroperasi di negara ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA