TPP bantu realisasi wawasan

TPP bantu realisasi wawasan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Perjanjian Perdagangan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) merupakan perkembangan baru terbesar dalam dunia dasar perdagangan global bagi tahun-tahun akan datang.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen berkata, sebaik sahaja dilaksanakan dan dalam tempoh jangka panjang, TPP akan membantu Brunei untuk merealisasikan wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi membangunkan ekonomi yang lebih kukuh dan dipelbagaikan, dengan lebih banyak pelaburan antarabangsa.

Tuan Yang Terutama menekankan perkara ini ketika berucap di majlis makan tengah hari yang dihoskannya di kediamannya bagi perwakilan lebih 20 syarikat atau berkaitan dengan AS yang menjalankan perniagaan di negara ini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Kedutaan AS di sini, hari ini, pada majlis itu, Tuan Yang Terutama Craig Allen bercakap dengan perwakilan sektor swasta berkenaan mengenai potensi impak perjanjian perdagangan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) ke atas hubungan perdagangan Brunei-AS.

Tuan Yang Terutama Craig Allen ketika menghoskan majlis makan tengah hari di Kedutaan AS, di sini.
Tuan Yang Terutama Craig Allen ketika menghoskan majlis makan tengah hari di Kedutaan AS, di sini.

Dihadiri oleh ramai ahli komuniti perniagaan Brunei, majlis itu memberikan peluang kepada Tuan Yang Terutama untuk membincangkan TPP dengan individu-individu di Brunei yang seperti semua pemilik perniagaan di Brunei, mungkin mendapat manfaat daripada peningkatan peluang perdagangan yang akan dibawa oleh perjanjian berkenaan.

Menurut kenyataan itu, TPP yang telah diasaskan oleh Brunei, New Zealand, Chile dan Singapura, merupakan perjanjian berstandard tinggi, komprehensif dan bercita-cita tinggi yang akan menetapkan peraturan-peraturan baru bagi perdagangan di rantau Asia Pasifik.

Ia akan membuka laluan bagi peningkatan perdagangan dan pelaburan yang seterusnya akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di Brunei dan AS serta seluruh rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA