TPP lengkapi matlamat AEC

TPP lengkapi matlamat AEC

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan melengkapi matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN meningkatkan prestasi perdagangan rantau ini.

Beliau berkata memandangkan empat negara TPP adalah anggota ASEAN, sudah pasti rantau ini akan menerima faedah daripada pengurangan tarif dalam TPP.

“Secara asasnya kita faham bahawa pengurangan tarif dan duti akan meningkatkan daya saing produk.

“Justeru, kami positif dengan aspek ini dan saya berharap semua perjanjian perdagangan bebas, bukan sahaja Perjanjian TPP, tetapi dalam konteks perbincangan serantau, akan membantu menggalakkan perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat tertutup antara Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia, di sini hari ini.

Chua berkata TPP juga dijangka meningkatkan perdagangan ASEAN dengan Ameriak Syarikat (AS) yang merupakan antara rakan dagang penting rantau.

Chua Tee Yong menjawab soalan peserta perbincangan meja bulat antara Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia. – Bernama
Chua Tee Yong menjawab soalan peserta perbincangan meja bulat antara Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia. – Bernama

“AS juga memainkan peranan utama dalam membangunkan rantau ASEAN dan nilai perdagangan keseluruhan bagi rantau ASEAN pada 2014 ialah sekitar US$212 bilion,” katanya.

Dari segi domestik, beliau berkata perdagangan Malaysia dengan AS dijangka meningkat tahun depan, dipacu oleh permintaan untuk produk elektrik dan elektronik di tengah-tengah kelembapan ringgit.

Chua berkata penyusutan ringgit berbanding dolar AS sudah pun menunjukkan kesan positif dari segi eksport negara ke AS.

“Sebelum ini kita mencatatkan lebihan perdagangan US$8 bilion namun bagi tempoh Januari hingga September tahun ini sahaja berlaku peningkatan hampir 62 peratus kepada US$13 bilion,” katanya.

Ini katanya menunjukkan penyusutan ringgit meningkatkan daya saing negara. Mengenai inflasi domestik, Chua berkata kerajaan akan terus memantau situasi itu yang dijangka meningkat kepada empat peratus tahun depan.