TPP mampu lonjakkan perdagangan Malaysia-Peru

TPP mampu lonjakkan perdagangan Malaysia-Peru

LIMA, 19 Mei (Bernama) – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin perlaksanaan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan melonjakkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Peru.

Beliau berkata ini kerana Peru adalah antara 12 negara, termasuk Malaysia, yang memeterai perjanjian TPP pada 4 Feb, 2016 di New Zealand.

Mustapa yang menandatangani perjanjian perdagangan bebas global terbesar abad ke-21 bagi pihak Malaysia, berkata sehubungan itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah mengadakan seminar pelaburan julung kali di Lima, Peru.

“Kita adakan satu seminar, pertama kali dalam sejarah. Kita telah menjalani hubungan diplomatik sudah 30 tahun.

“Pertama kali kita ada seminar pelaburan…jadi penting untuk memberi pendedahan tentang Malaysia. Adalah penting juga kerana Peru sedang melaksanakan beberapa dasar untuk metransformasikan ekonominya dan Peru juga adalah anggota TPP macam Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Mustapa berkata hubungan dagangan antara Peru dan Malaysia akan terus meningkat pada tahun mendatang kerana dengan TPP, ia akan membuka ruang dan peluang yang lebih besar bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia memasuki pasaran Amerika Selatan ini.

“Kita yakin (perdagangan) akan meningkat apabila TPP terlaksana, Insya Allah, dua tahun akan datang.”

Mustapa kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan anjuran Matrade ke tiga negara, Peru, Mexico dan Chile bermula 14 hingga 27 Mei ini.

Seminar pelaburan yang diadakan pada Isnin itu juga diadakan bersempena ulang tahun ke-30 hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru.

Sebanyak 15 syarikat Malaysia menyertai misi itu yang bertujuan meningkatkan perdagangan dua hala, khususnya eksport selain meninjau peluang perniagaan menerusi kerjasama dengan ahli perniagaan di negara-negara Amerika Selatan.

“Kita yakin akan meningkat apabila TPP terlaksana Insya Allah, dua tahun akan datang,” kata Mustapa.

Beliau berkata setakat ini terdapat seorang rakyat Malaysia, John Tey Chee Kiong yang berasal dari Batu Pahat, menjalankan perusahaan penanaman kelapa sawit, di Peru.

Beliau mengalakkan lebih ramai syarikat ambil peluang untuk menjalankan perniagaan di Peru.

ARTIKEL YANG SAMA