TPP tingkat aliran pelaburan

TPP tingkat aliran pelaburan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Negara Brunei Darussalam bersama-sama Australia, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam pada 5 Oktober lalu, secara formal mengumumkan kejayaan penyelesaian rundingan Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) di Atlanta, Georgia, AS.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, di sini, hari ini, TPP merupakan perjanjian bebas perdagangan serantau yang komprehensif dan berkualiti tinggi, yang akan menyediakan pentas bagi peraturan perdagangan dan pelaburan abad ke-21 di rantau Asia Pasifik dan menjana sebuah pasaran yang merangkumi kira-kira 800 juta orang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul sebanyak AS$30 trilion iaitu dianggarkan kira-kira 40 peratus KDNK global setelah disahkan.

Kenyataan menjelaskan bahawa TPP berkembang daripada Kerjasama Ekonomi Strategik Rentas Pasifik (TPSEP/P4) iaitu sebuah perjanjian bebas perdagangan di antara Brunei Darussalam, Chile, New Zealand dan Singapura yang mula berkuat kuasa pada 2006.

Dengan masa depan Brunei Darussalam bergantung pada kejayaan negara sebagai sebuah negara perdagangan, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melihat penyertaan dalam TPP itu amat signifikan, yang akan memandu pembangunan ekonomi negara dengan memastikan Brunei terus menikmati kemakmuran pada masa akan datang.

Perdagangan keseluruhan Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara TPP merangkumi secara purata kira-kira 64 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan negara di mana pada 2014, jumlah itu kira-kira $10 bilion.

Menurut kenyataan itu lagi, perangkaan berkenaan menunjukkan pentingnya pasaran-pasaran itu kepada ekonomi Brunei yang bakal meraih manfaat daripada peningkatan aliran pelaburan dan perdagangan disebabkan oleh TPP itu.

Akses kepada pasaran lebih besar juga akan memberikan manfaat kepada syarikat-syarikat tempatan yang sudah mengeksport barangan mereka serta juga menyediakan peluang-peluang bagi syarikat yang ingin menerokai pasaran luar itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pada masa yang sama, dengan ketelusan dan ramalan rejim perdagangan dan pelaburan yang lebih baik akan memberikan keyakinan kepada pelabur dan melengkapi usaha untuk menurunkan kos dalam melaksanakan perniagaan bagi menjana suasana perniagaan yang lebih kondusif di Negara Brunei Darussalam.

Dasar-dasar itu akan meningkatkan lagi daya saing keseluruhan Brunei Darussalam dan akan menarik pelaburan langsung asing berkualiti yang akan memandu pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu lagi, teks Perjanjian TPP boleh diakses melalui laman sesawang kementerian, www.mofat.gov.bn/pages/tpp.aspx.

ARTIKEL YANG SAMA