TPPA beri manfaat kepada ekonomi M’sia

TPPA beri manfaat kepada ekonomi M’sia

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memberi manfaat ekonomi bersih kepada Malaysia, tetapi akan terdapat kos pelarasan kepada syarikat daripada persaingan yang meningkat dan tanggungjawab merentasi sektor.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk J. Jayasiri berkata Malaysia perlu berada dalam perjanjian perdagangan itu untuk mendapat layanan keutamaan.

“Ini terutamanya untuk empat buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Mexico, Peru dan Kanada, apabila Malaysia masih belum mempunyai akses keutamaan.

“Jika kita tidak menyertai TPP dan pesaing kita menyertainya, mereka akan mendapat layanan dan ini menyebabkan pengeksport kita berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum mengenai TPPA anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di sini hari ini.

Dalam ucapannya pada forum itu, Jayasiri berkata mendapat akses pasaran untuk barangan dan perkhidmatan, menjadi sebab utama Malaysia ingin menyertai TPPA.