TPPA bermanfaat kepada ekonomi negara

TPPA bermanfaat kepada ekonomi negara

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang ditandatangani oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bersama 11 lain mampu membuka pasaran lebih luas bagi para pelabur dan pengeluar tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke persada antarabangsa.

Syarat dan garis panduan perjanjian perdagangan antarabangsa itu yang lebih holistik dan komprehensif turut menaikkan keyakinan para pelabur asing untuk melabur dalam pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Pandangan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof ketika temu bual media di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, hari ini.

Katanya, Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik yang ditandatangani kerajaan Brunei bersama 11 negara lain di Auckland, New Zealand adalah perjanjian paling liberal daripada aspek akses pasaran luar dan juga salah satu perjanjian bertaraf tinggi yang merangkumi perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani sebelum ini.

“Dengan menandatangani perjanjian ini juga akan menaikkan keyakinan para pelabur luar untuk membuat pelaburan di Negara Brunei Darussalam dan para peniaga tempatan meluaskan sayap perniagaan mereka ke luar,” katanya pada pertemuan yang turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Hajah Tutiyati binti Haji Abdul Wahab.

Dato Paduka Haji Erywan ketika bercakap kepada pemberita.
Dato Paduka Haji Erywan ketika bercakap kepada pemberita.

Beliau menjelaskan, negara ASEAN yang menandatangani perjanjian TPPA seperti Malaysia, Vietnam, Singapura dan Negara Brunei Darussalam akan dapat memasuki pasaran negara anggota TPPA lain termasuk Amerika Syarikat sementara pelabur dari negara anggota TPPA juga akan mudah membuat pelaburan ke negara ini dan negara anggota lain.

Beliau juga menangkis kegusaran sebilangan peniaga tempatan yang khuatir perjanjian tersebut akan menjejaskan industri tempatan, dengan berkata hakikatnya penandatanganan tersebut lebih memanfaatkan peniaga tempatan kerana baru kini mereka dapat kemudahan untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat dan negara kuasa besar lain di bawah perjanjian itu.

Brunei telah mengamalkan dasar perdagangan yang sungguh liberal yang hampir setanding dengan Singapura dan ini telah memberikan kesempatan untuk pasaran luar mengeksploitasi pasaran tempatan, namun setelah menandatangani TPPA memberi kelebihan pula untuk pengeluar dan pelabur tempatan untuk meneroka pasaran antarabangsa yang lebih luas.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan sedia memberi bantuan dan menyalurkan maklumat kepada usahawan tempatan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kemudahan menerokai pasaran di kalangan negara anggota TPPA.

Ketika ditanya mengenai bidang-bidang ekonomi yang dapat memanfaatkan ekonomi negara ini melalui TPPA, Dato Paduka Haji Erywan berpendapat Brunei perlu mengenal pasti bidang industri yang sesuai untuk dibangunkan di negara ini, dan antaranya ialah bidang industri berteknologi tinggi serta industri perkhidmatan.

Namun, beliau juga menegaskan yang industri yang terpilih itu mestilah yang memerlukan penyertaan banyak pihak berkepentingan dan yang berupaya menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi memastikan amalan-amalan serta prosedur yang mengikuti norma-norma perdagangan antarabangsa dipraktikkan.

Pada pertemuan itu beliau diminta memberikan pandangannya mengenai pendirian Komuniti ASEAN dari segi keselamatan serantau terhadap tindakan terbaru Korea Utara melancarkan roket jarak jauh.

Menurutnya, ekoran tindakan Korea Utara itu, ASEAN telah mengeluarkan cadangan berkaitan kebimbangan keadaan keselamatan di Semenanjung Korea dan juga sebarang isu yang bakal timbul ekoran tindakan negara itu.

Katanya, Komuniti ASEAN telah mengesyorkan cadangan supaya negara terlibat mengadakan dialog bagi membincangkan isu keselamatan itu secara aman.

“Cara terbaik bagi menangani isu ini ialah ASEAN bertindak sebagai ‘perantara ’ dalam menyelesaikan isu ini yang jika tidak dikawal mungkin akan turut menjejaskan kesejahteraan rantau ini,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA