TPPA bukan acuan Amerika Syarikat

TPPA bukan acuan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan perjanjian perdagangan yang dirangka oleh Amerika Syarikat (AS) semata-mata, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, Malaysia sebagai antara negara anggota, turut campur tangan dalam merangka draf perjanjian antarabangsa yang turut membabitkan 11 negara lain.

“Malaysia bertanggungjawab dalam menyediakan draf bagi Bab 6, 21, dan 24 yang berkaitan dengan kerjasama dan bina upaya mengenai perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan, dan bab yang penting lain yang tidak terdapat dalam mana-mana perjanjian perdagangan.

“Pandangan bahawa Malaysia mengguna pakai templat Amerika Syarikat adalah tidak benar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul TPPA bagi kementerian itu pada mesyuarat khas Dewan Rakyat, hari ini.

Lima menteri Kabinet lain, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, turut membuat penggulungan masing-masing pada sesi itu. Mustapa juga berkata, kuasa besar ekonomi seperti AS dan Jepun tidak mempunyai kuasa veto dalam TPPA dan ini tidak akan menjejaskan sistem ekonomi negara kerana Malaysia mengamalkan ekonomi campuran.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Malaysia akan dijajah oleh sistem kapitalis Amerika Syarikat. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA