TPPA: Kejayaan penting dalam konteks APEC

TPPA: Kejayaan penting dalam konteks APEC

NEW YORK, 21 Dis (Bernama) – Mengimbas rundingan Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan di Atlanta baru-baru ini, Wendy Cutler, bekas pemangku timbalan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) yang aktif dalam rundingan TPPA, berkata kejayaan memuktamadkan rundingan itu juga merupakan kejayaan penting dalam konteks Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Sidang kemuncak APEC 2015 yang berlangsung bulan lepas di Manila di bawah kepimpinan Filipina, diadakan hampir serentak dengan pembentukan Kerjasama Ekonomi ASEAN di Kuala Lumpur yang dipengerusikan Malaysia.

Naib Presiden dan Pengarah Urusan Policy Institute Asia Society itu berkata sejak TPPA dimuktamadkan, beberapa negara secara terbuka menyatakan minat masing-masing untuk menyertainya, termasuk Korea, Indonesia, dan Filipina.

Walaupun beliau tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran, Cutler berkata rundingan peribadi sedang dijalankan secara berterusan dengan negara anggota APEC lain yang berminat untuk menyertai TPPA, yang dilihat mampu menjadi pemangkin untuk pembukaan perdagangan selanjutnya di seluruh Asia Pasifik.

Beliau menolak hujah bahawa TPPA akan bersaing dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), satu lagi perjanjian perdagangan bebas yang mempunyai capaian luas, dengan kebanyakan pemerhati menganggap sebagai saingan TPPA – terutama sejak RCEP turut melibatkan China.

“Saya tidak fikir bahawa mereka bersaing, dan saya tidak fikir (sesebuah negara) perlu memilih berbanding salah satu,” kata Cutler.

“Satu melibatkan perdagangan yang lebih terbuka berbanding satu lagi.”

TPPA masih perlu disahkan oleh kesemua 12 negara sebelum ia boleh dikuatkuasakan – satu proses politik yang Cutler nyatakan sebelum ini sebagai suatu proses yang ‘sangat kompleks dan sukar.’

Beberapa negara anggota APEC mahu India dilibatkan dalam APEC, dengan seorang diplomat Asia yang enggan namanya disiarkan memberitahu Bernama bahawa ia merupakan satu ‘anomali’ untuk tidak melibatkan India dalam APEC pada peringkat awal lagi.

Memandangkan ekonomi India sangat cerah, dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan ‘sekurang-kurangnya 7 peratus’ pada tahun-tahun akan datang, sebahagian anggota APEC yakin ia merupakan satu kesilapan untuk tidak memasukkan India dalam APEC.

Malah, ramai mengatakan India boleh memberi dorongan pertumbuhan yang kukuh berikutan ekonomi China yang lembap dalam tempoh mendatang.

“APEC berjaya kerana ia menyatukan perniagaan dengan kerajaan.

“Dengan memikirkan kerjasama, kumpulan itu boleh dikembangkan,” kata seorang pegawai kanan APEC di Biro Asia Timur dan Pasifik di Jabatan Negara US J. Matthew.

Walaupun kumpulan APEC sedia ada sudah pun mewakili 21 ekonomi, kuasa ekonomi utama lain, seperti India, tidak termasuk dalam rundingan tahunan dalam kapasiti pegawai.

“Idea untuk menambah keanggotaan sentiasa dibincangkan,” kata Profesor Pelawat Sekolah Antarabangsa dan Hal Ehwal Awam Colombia University Mali Elka Pangestu.

Beliau mencadangkan bukan anggota menyertainya melalui saluran lain seperti sebagai tetamu atau pemerhati semasa sidang kemuncak.

“Ekonomi yang serius mahu menyertai APEC pada masa hadapan dinasihatkan mengambil peluang dengan menghantar pegawai mereka memantau perjalanan dan fungsi sebenar APEC.

“Mereka juga boleh menentukan sama ada menyertai atau tidak dalam komitmen untuk meliberalisasi perdagangan bebas dan terbuka yang sepadan dengan dasar mereka sendiri, dan sama ada mereka boleh berfungsi dengan berkesan dan produktif dalam persekitaran itu,” kata Matthews.

Ekonomi India hanya sebahagiannya bersepadu dalam ekonomi global, terutama perjanjian perdagangan serantau di Asia Pasifik yang dinamik.

Kemunculan perjanjian perdagangan serantau seperti TPPA terus menjauhkan India dari rantaian bekalan global utama yang sangat penting dalam inisiatif ‘Buatan India’ yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi.

Asia Society berkata kemasukan India ke dalam APEC, yang menyumbang hampir 60 peratus daripada KDNK global, akan membuka laluan untuk berintegrasi dengan lebih baik ke dalam ekonomi serantau.

ARTIKEL YANG SAMA