TPPA peristiwa paling mencabar

TPPA peristiwa paling mencabar

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Berbalas senyuman selepas perbahasan sengit dalam perjanjian perdagangan yang paling ba-nyak dibahaskan, dikritik dan mencabar dalam sejarah Malaysia yang akhirnya diluluskan – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik – merupakan peristiwa yang tidak boleh dilupakan oleh Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata kejayaan memperoleh kelulusan selepas perbahasan selama tiga hari di Parlimen awal tahun ini, me-rupakan pencapaian untuknya serta pasukan rundingan, dengan mempercayai bahawa mereka telah melakukan sesuatu yang baik untuk negara.

“Akhirnya, ia diluluskan. Semua orang bertepuk tangan dan anda tahu… saya hampir menjerit. Kami begitu gembira.

“Ia merupakan suatu perjalanan yang kami lalui bertahun-tahun lamanya. Terlalu banyak kepayahan dan cabaran yang dihadapi,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Rebecca, yang bersara pada 1 Julai 2016, ditanya mengenai peristiwa yang tidak dapat dilupakannya semasa dalam perkhidmatan awam sejak 1981, serta pengalaman beliau bekerja di kementerian yang penting di negara ini.

Berkongsi kisah proses rundingan TPPA, beliau berkata isu yang dibincangkan, terutama yang berkaitan dasar Bumiputera, perusahaan miliki negara dan pemerolehan kerajaan, merupakan bidang yang paling sukar untuk dirundingkan bersama 11 negara anggota lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengiringi Ketua Se-tiausaha kementerian berkenaan, Tan Sri Dr Rebecca Fatimah Sta. Maria yang sudah bersara di Menara Miti pada 1 Julai. - Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengiringi Ketua Se-tiausaha kementerian berkenaan, Tan Sri Dr Rebecca Fatimah Sta. Maria yang sudah bersara di Menara Miti pada 1 Julai. – Bernama

Beliau berkata situasi dalam bilik mesyuarat dipenuhi ketegangan, selain semangat tinggi dalam kalangan pemimpin dan pegawai muda untuk memastikan perjanjian perdagangan terbesar di dunia ini dijayakan.

“Sesungguhnya, rundingan ini tidak mudah, sampai tidak tidur semalaman, bila kami berunding, ia berjalan seharian… (namun) ia merupakan pengalaman hebat bagi kami semua.

“Anda rasa sangat bangga menjadi rakyat Malaysia yang bekerja dalam perkhidmatan awam kerana anda memberi sumbangan besar, dan melihat semua orang bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan, perasaan itu sukar digantikan,” katanya.

Hakikat yang sukar dipercayai ialah TPPA turut melibatkan ahli pembangkang seperti Nurul Izzah Anwar, Charles Santiago dan Wong Chen, dalam sesi perbincangan dan taklimat di pejabat beliau di Jalan Duta, yang juga merupakan sejarah untuk diingati.

Rebecca yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha MITI sejak 2010, sebelum itu bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), menyediakan maklumat bagi penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar dan kedudukan perdagangan antarabangsa Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1981 dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Kementerian Perdagangan dan Industri ketika itu.

Pada 1988, beliau dipinjamkan ke Pusat Latihan Kuarantin Tumbuhan ASEAN sebagai Ketua Pentadbiran dan Pegawai Perolehan.

Penglibatan Rebecca dalam ASEAN sangat luas.

Pada 2006, beliau mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN.

Beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi ASEAN bagi Integrasi Ekonomi selain sebagai Naib Pengerusi Forum Ekonomi Dunia, Majlis Agenda Global, Asia Tenggara.

Rebecca berkata berkhidmat dalam kedudukan itu membuka peluang besar dan luar biasa kepadanya untuk bertemu dan berinteraksi dengan pemimpin hebat dunia seperti Barack Obama, Vladimir Putin, Justin Trudeau, Lee Hsien Loong, Xi Jinping dan Li Keqiang.

“Peluang begini jarang berlaku dan saya menghargainya. Ia tidak datang dengan mudah,” katanya.

Ditanya mengenai rancangan persaraannya, dengan senyuman diraut wajahnya Rebecca memperincikan aktiviti yang akan dilakukannya.

“Apa sahaja yang akan saya lakukan, tidak akan menyekat kebebasan saya. Saya tidak mahu buat sesuatu yang perlu dilakukan sepenuh masa.

“Saya mahu lebih banyak masa untuk membaca kerana saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca. Saya juga mahu lebih banyak berjalan (melancong).

Rebecca berkata beliau mahu melancong ke tempat-tempat yang indah yang pernah dikunjunginya sebelum ini, namun tidak berpeluang untuk menikmati-nya kerana komitmen kerja.

“Saya mahu menikmati sepenuhnya kehidupan ini. Sekarang saya boleh menjaga keluarga dan lakukan apa sahaja yang saya inginkan,” katanya sambil ketawa.

Mengenai sama ada terdapat tawaran untuk beliau melanjutkan perkhidmatan, dengan tenang Rebecca menjelaskan: “Menteri saya (Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed) ada bertanya, namun saya nyatakan saya telah membuat keputusan. Saya mempunyai keutamaan untuk saya beri tumpuan, jadi (inilah) masa untuk berundur.

“Setelah berbuat yang terbaik, lebih baik kita berundur dan biar orang lain ambil alih, supaya mereka boleh lakukan apa yang diperlukan untuk organisasi.

“Saya sudah memberikan yang terbaik untuk kerajaan dan saya rasa kerajaan juga amat baik kepada saya,” katanya.

Rebecca digantikan oleh Datuk J Jayasiri yang juga Ketua Perunding bagi Malaysia dalam rundingan TPPA. – Bernama