TPPA sesuai untuk rantau ini

TPPA sesuai untuk rantau ini

AUCKLAND, 4 Feb – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang ditandatangani hari ini, merupakan penetapan secara kolektif mengenai standard-standard yang bersesuaian untuk rantau ini, kata Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (US) Michael Froman.

“TPPA merupakan perjanjian yang bersejarah… kita mulakan bersama-sama beberapa tahun lepas pakatan yang hebat, komprehensif dan mempunyai standard yang tinggi.

“Ia adalah hasil produk negara-negara, kecil dan besar, maju dan membangun, di Asia dan negara di hemisfera barat,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeterian pakatan perdagangan itu.

Froman juga menjawab soalan mengenai kebimbangan dalam kalangan mereka yang menentang TPPA bahawa multinasional mempunyai ‘Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negeri’ (ISDS) untuk menyaman kerajaan.

“Kami membuat kesimpulan itu secara kolektif bagi memastikan prosedur ISDS digunakan dengan sewajarnya.”

“Kami berkongai pelbagai kebimbangan yang dibangkitkan mengenai ISDS sepanjang rundingan. Itu sebab perjanjian itu lebih meluas berbanding mana-mana perjanjian sebelum ini, dalam aspek meningkatkan standard, menambah prosedur perlindungan, menangani sebarang kelemahan yang kami kesan dalam perjanjian lain di seluruh dunia sebelum ini, bagi memastikan kerajaan boleh mengawal, semata-mata bagi melindungi kepentingan umum,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan memasukkan China dalam TPPA, Froman berkata, ‘mempunyai hubungan ekonomi yang konstruktif dengan China sangat penting.

“Beliau menegaskan bahawa pakatan perdagangan itu tidak menentang mana-mana negara.”

Sementara itu, TPPA ditandatangani oleh Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA