TPPA tidak dimeterai di Hawaii

TPPA tidak dimeterai di Hawaii

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) – Malaysia tidak akan memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di mesyuarat menteri-menteri di Hawaii bermula 28-31 Julai, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang mengetuai pasukan perunding Malaysia terdiri daripada lebih 20 kementerian dan agensi, berkata: “Permeteraian TPPA tidak akan berlaku di Hawaii.”

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, seperti Malaysia, setiap anggota TPPA perlu melalui proses domestiknya sendiri sebelum keputusan akhir untuk memeterai dan mengesahkan perjanjian dibuat.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi rundingan TPPA, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan perlembagaan, kedaulatan dan dasar teras negara kita, termasuk kepentingan masyarakat Bumiputera, dilindungi dan dipertahankan.

“Objektif kami pada mesyuarat ini adalah untuk memastikan kepentingan dan kebimbangan Malaysia ditangani,” katanya.