TPPA tidak terlaksana tanpa ratifikasi AS

TPPA tidak terlaksana tanpa ratifikasi AS

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) – Perjanjian Perkongsian TransPasifik (TPPA) tidak akan dilaksanakan atau dirunding semula jika Amerika Syarikat (AS) tidak meratifikasi perjanjian perdagangan berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata jika ia berlaku, baki 11 pihak penandatangan TPPA akan membincangkan kemungkinan kerjasama dalam bentuk berbeza.

“Jika AS tidak meratifikasi TPPA maka ia tidak akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel sempena pelancaran Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia di sini, hari ini.

Terdahulu semasa perbincangan panel itu, Rebecca berkata rundingan TPPA memberi manfaat kepada kerajaan Malaysia dalam menangani isu sensitif dan penting.

“Kerajaan melakukan yang terbaik untuk menangani kebimbangan ini dan membuat perubahan yang diperlukan,” katanya.

Pada Mac lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata bahawa TPPA akan berakhir jika Donald Trump dipilih menjadi Presiden AS baharu.

Calon dari parti Republikan untuk pilihan raya presiden AS itu dilaporkan menggelar TPPA sebgai “pengkhianatan terbesar” kepada rakyat AS, dengan mendakwa perjanjian perdagangan berkenaan akan menyebabkan penduduknya kehilangan pekerjaan ekoran penyumberan luar kerja besar-besaran.

Malaysia dan 11 negara lain – AS, Kanada, Mexico, Australia, New Zealand, Vietnam, Singapura, Brunei, Chile, Jepun dan Peru menandatangani perjanjian itu pada Januari selepas rundingan dijalankan sejak beberapa tahun.

Sementara itu, seorang lagi anggota panel, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Datuk Dr Hafsah Hashim, berkata perjanjian tersebut akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana terutama dalam industri automotif, elektrik dan elektronik serta tekstil.

“Masalahnya sekarang bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran mereka dalam meraih manfaat daripada perjanjian perdagangan,” katanya.