TPPA tingkat akses pasaran bagi barangan Australia

TPPA tingkat akses pasaran bagi barangan Australia

MELBOURNE, 28 Sept (Bernama) – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menyediakan tahap akses pasaran baharu bagi barangan dan perkhidmatan Australia.

“Ia juga akan mencakupi bahagian e-dagang dan harta intelek dan meningkatkan lagi akses ke semua rantaian nilai global yang penting termasuk perusahaan kecil dan sederhana,” kata Menteri Perdagangan dan Pelaburan Australia, Andrew Robb.

Robb dalam satu kenyataan berkata TPPA menjanjikan hasil yang lumayan dan berkemungkinan besar dapat dimuktamadkan tetapi tertangguh disebabkan oleh faktor-faktor politik domestik di negara-negara termasuk Amerika Syarikat (AS).

“Terdapat isu-isu yang belum dapat diselesaikan dan harapnya ia boleh ditangani. Kami telah mengambil keputusan bagi kemungkinan 90 peratus daripada isu-isu itu dan Australia akan menyaksikan lebih banyak manfaat ketara,” katanya.

Robb berkata sebagai perjanjian perdagangan serantau terbesar dunia, TPPA menjanjikan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang lebih lancar di negara-negara yang menguasai 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia.

“Peraturan dan standard dagangan sama di negara-negara ahli akan dapat mengurangkan banyak kos perniagaan, menggalakkan pertumbuhan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Perjanjian yang berjaya dimuktamadkan akan mencerminkan langkah utama ke arah mewujudkan kawasan perdagangan bebas di seluruh Asia Pasifik,” katanya.

Robb akan menghadiri rundingan TPPA dengan rakan sejawatnya dari 11 negara lain bermula 30 September hingga 1 Oktober di Atlanta, Georgia di AS.

TPPA sedang dirundingkan oleh Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, New Zealand, Singapura, AS dan Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA