TPPA tingkatkan produk plastik

TPPA tingkatkan produk plastik

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Persatuan Pengilang Plastik Malaysia menyokong sepenuhnya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memandangkan pakatan perdagangan itu akan membuka lebih luas potensi pasaran eksport, sekali gus meningkatkan pekerjaan dan daya saing.

TPPA yang menyumbang 40 peratus daripada keluaran dunia, juga dijangka meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan, menggalakkan teknologi moden, meningkatkan taraf hidup serta menambah baik perlindungan ke atas alam sekitar, kata Presiden persatuan itu, Datuk Lim Kok Boon.

“Kami berpendapat TPPA akan memberi manfaat kepada anggota kami berdasarkan potensi pasaran yang sangat luas. “Kami kini menunggu kerajaan memeterai perjanjian TPPA secepat muungkin,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kajian analisis manfaat kos yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Analisis Kepentingan Nasional oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, dan kajian ke atas Impak Potensi Ekonomi TPPA ke atas Ekonomi Malaysia dan Sektor Ekonomi Utama oleh PricewaterhouseCoopers, mengunjurkan peluang yang sangat baik.

Industri plastik sumbang kepada industri elektrik dan elektronik.
Industri plastik sumbang kepada industri elektrik dan elektronik.

Beliau berkata kajian itu mengunjurkan TPPA akan menyumbang kepada peningkatan keluaran produk Malaysia, antara lain, produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

TPPA juga akan memberi impak positif ke atas peralatan dan komponen automotif, selain industri elektrik dan elektronik. “Industri plastik menjadi penyumbang besar kepada kedua-dua sektor berkenaan, dengan membekal peralatan dan komponen berkualiti,” kata Lim, dan menambah berdasarkan pasaran domestik yang secara relatifnya kecil, industri plastik tempatan bergantung besar kepada eksport.

Pada masa ini seramai kira-kira 1,200 syarikat pengilangan plastik mengupah kira-kira 80,000 pekerja.

Pada 2014, Industri Plastik Malaysia mencatat hasil berjumlah RM19.37 bilion, dengan 62 peratus daripda produk siap plastik yang dikeluarkan di Malaysia bernilai RM11.94 bilion, dieksport.

“Pasaran tradisi utama Malaysia membabitkan negara Kesatuan Eropah, Jepun, Australia dan Singapura.

“AS (Amerika Syarikat) pernah menjadi pasaran utama eksport kita, namun sejak penarikan balik Skim Keutamaan Am pada lewat 1990-an, eksport negara ke AS susut dengan ketara.

“Menerusi pemansuhan tarif import dan halangan bukan tarif, ia akan membuka peluang eksport yang luas ke AS, selain Kanada dan Mexico,” kata Lim. – Bernama