Tradisi lama dihidupkan

Tradisi lama dihidupkan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 Mei – Sebagai adat Puak Dusun setiap tahun, Majlis Perundingan Kampung Batang Mitus dan Kebia Tutong pagi tadi telah mengadakan Pesta Adau Gayoh 2016 di kawasan Balai Raya Kampung Batang Mitus.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan pesta tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam.

Adau Gayoh tahun ini disambut dengan konsep ‘Mempertahankan Budaya Tradisi Lama Agar Tetap Jadi Ikutan’ yang membawa maksud Puak Dusun ingin mengekalkan budaya nenek moyang yang akan menjadi ingatan dan ikutan generasi pada masa akan datang.

Konsep persembahan dan sambutan tahun ini adalah bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Budaya Kuat Silaturahim Erat’.

Pesta Adau Gayoh yang melibatkan pameran dan beberapa mini jualan itu diadakan untuk mengekalkan tradisi dan budaya Puak Dusun agar tidak ditelan zaman, selain untuk meningkatkan taraf hidup penduduknya.

Haji Adanan merasmikan Pesta Adau Gayoh.
Haji Adanan merasmikan Pesta Adau Gayoh.

Bagi meriahkan lagi pesta tersebut, beberapa persembahan seperti seni silat dan tarian puak Dusun diikuti dengan penghargaan kepada dua orang warga emas dari Kampung Batang Mitus dan Kampung Kebia.

Pesta ini juga diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara Puak Dusun, masyarakat Kampung Batang Mitus dan Kampung Kebia selain menjurus kepada perpaduan bangsa yang mantap dan kekal selama-lamanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking; Penaung Sambutan Adau Gayoh (SAG), Dato Paduka Haji Azian bin Abdullah; Penghulu Mukim Kiudang yang juga selaku Penasihat 1 SAG, Haji Rahim bin Abdullah Yakin dan Penasihat kedua SAG, Dr. Chong Ah Fok.

ARTIKEL YANG SAMA