Tradisi Rumah Terbuka semarakkan Aidilfitri

Tradisi Rumah Terbuka semarakkan Aidilfitri

Oleh Hajah Saemah Kepli, Anwar Rosly & Mohamad Asyramsiyanie

 

KUALA BELAIT, 26 Julai – Lebih tiga ratus pengunjung telah menambah ceriakan lagi acara Rumah Terbuka Syarikat Kumpulan Mashhor Sendiran Berhad sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di kediaman pengerusi syarikat tersebut, Malai Haji Abdul Hamid bin Haji Malai Mashhor di Jalan Maulana di sini, hari ini.

Pengunjung-pengunjung yang datang untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri sambil bermaaf-maafan dan beramah mesra dengan Malai Haji Abdul Hamid serta isteri, anak-anak dan pegawai serta kakitangan syarikat berkenaan terdiri di kalangan, pelanggan-pelanggan, pembekal, kakitangan bank, pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan, swasta, Penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai masjid, sanak-saudara, sahabat handai, jiran tetangga dan kakitangan syarikat itu sendiri.

Rumah Terbuka tersebut telah bermula dari pukul 10:00 pagi hingga 10:00 malam, merupakan acara tradisi ahli keluarga syarikat tersebut untuk menambahkan lagi keeratan silaturahim antara satu sama lain.

Malai Haji Abdul Hamid memberitahu Media Permata, acara seperti itu dilihatnya amat penting sebagai pelantar dalam lebih menguatkan lagi ikatan silaturahim yang sudah ada, sambil beramah mesra di Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, merupakan antara perkara yang dituntut oleh Islam.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri, juga adalah sebagai menandakan kemenangan umat Islam yang telah mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan, di samping beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Bulan ke sembilan dalam kalendar Islam itu, juga telah banyak mendidik kita untuk menanamkan sikap untuk sentiasa melakukan perkara-perkara berkebajikan, termasuk membantu sesama masyarakat yang memerlukan dan sebagainya,” katanya.

Pengerusi Syarikat Kumpulan Mashhor Sdn Bhd Malai Haji Abdul Hamid bersama isteri, dan ahli keluarga serta para tetamu yang datang ke acara rumah terbuka syarikat itu.
Pengerusi Syarikat Kumpulan Mashhor Sdn Bhd Malai Haji Abdul Hamid bersama isteri, dan ahli keluarga serta para tetamu yang datang ke acara rumah terbuka syarikat itu.
Isteri Pengerusi Syarikat Kumpulan Mashhor Sdn Bhd bersama antara anggota Media Kuala Belait yang turut diundang sama pada acara rumah terbuka syarikat itu.
Isteri Pengerusi Syarikat Kumpulan Mashhor Sdn Bhd bersama antara anggota Media Kuala Belait yang turut diundang sama pada acara rumah terbuka syarikat itu.

Acara rumah terbuka Syarikat Kumpulan Mashhor tahun ini, diadakan dengan tema fesyen tahun 1960an dan 1970an, dan melalui tema ini juga turut menambah ceriakan lagi suasana majlis sambil bergembira dan boleh mengimbau kenangan lalu.

Sementara itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Pandan C hari ini mengadakan Majlis Doa Arwah dan Tahlil bersama para warga emas di kediaman Ketua Kampung RPN Pandan C, Haji Affendy bin Haji Damit.

Dalam acara itu, seramai 100 warga emas menghadiri majlis yang dimulakan dengan membaca surah Yasin, menikmati jamuan Hari Raya sambil menunggu giliran bagi menerima Pencen Tua Bulanan Pemberitahuan Taraf Berpencen (PTB) mereka.

Ketua Kampung RPN Pandan C Haji Affendy meluangkan masa bersama-sama penduduk warga emas kampung tersebut.
Ketua Kampung RPN Pandan C Haji Affendy meluangkan masa bersama-sama penduduk warga emas kampung tersebut.
Sebahagian warga emas yang hadir di kediaman Ketua Kampung Pandan C bagi Majlis Doa Arwah dan Sambutan Aidilfitri.
Sebahagian warga emas yang hadir di kediaman Ketua Kampung Pandan C bagi Majlis Doa Arwah dan Sambutan Aidilfitri.

Dalam temu bual bersama dengan Ketua Kampung, Haji Affendy berkata acara ini diadakan untuk mengingati penduduk kampung yang telah meninggal dunia.

“Selain mengedarkan bantuan PTB, acara ini juga diadakan serentak untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan warga emas dan perhimpunan ini juga memberi warga emas peluang untuk menyuarakan pendapat dan cadangan untuk pembangunan kampung,” kata Haji Affendy.

Di Bandar Seri Begawan pula, kira-kira 273 orang ahli keluarga Allahyarham Haji Kamis bin Bungsu dan Allahyarhamah Hajah Siti Rahmat binti Judin berkumpul di Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu hari ini untuk menyambut Aidilfitri. Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis perkumpulan keluarga itu ialah Ketua Kampung Pengkalan Batu, Haji Kahar bin Haji Tunggal yang dialu-alukan oleh Haji Abdul Momin Haji Silin selaku pengerusi majlis di dalam ucapannya di awal majlis berkenaan.

Sesi bergambar ramai di akhir Majlis Sambutan Aidilfitri kira-kira 273 orang ahli keluarga Allahyarham Haji Kamis dan Allahyarhamah Hajah Siti Rahmat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu. - Gambar oleh Abdul Hakiim Yakof
Sesi bergambar ramai di akhir Majlis Sambutan Aidilfitri kira-kira 273 orang ahli keluarga Allahyarham Haji Kamis dan Allahyarhamah Hajah Siti Rahmat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu. – Gambar oleh Abdul Hakiim Yakof

Pengiran Haji Samsudin bin Pengiran Haji Salim menyemarakkan lagi suasana majlis apabila tampil menyampaikan persembahan deklamasi sajak yang dicipta khas bagi majlis perkumpulan keluaran Haji Kamis berkenaan.

Menurut Haji Abdul Momin, majlis hari ini antaranya dihadiri keluarga Anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit pasangan Allahyarham dan Allahyarhamah yang juga merupakan bekas ketua Kampung Pengkalan Batu satu ketika dahulu.

Beliau berkata, Allahyarham merupakan seorang yang aktif dan kreatif serta berkemahiran tinggi dalam penternakan seperti Ikan dan juga suka memburu. Majlis berkenan disusuli dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah sebelum sesi bergambar di akhir majlis berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA