Tradisi unik gamit pengunjung

Tradisi unik gamit pengunjung

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Mei – Rombongan seramai 20 orang dari Organisasi Infrastruktur Pertahanan, Tentera British Seria akhirnya berpeluang mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Teraja di sini, apabila kerap kali mendengar cerita tentang keunikan tradisi dan budaya mereka daripada rakan-rakan yang sudah mengunjunginya.

Kedatangan rombongan yang diketuai Mejar SJ Oxley Mbe Re telah dialu-alukan oleh Penolong Timbalan Pengerusi Ahli Ja-watankuasa Tertinggi Rumah Panjang Teraja, Awang Kamarau Jamit; ketua Biro Wanita dan ahli jawatankuasa kerja dengan iringan persembahan guling tangan oleh anak buah kampung.

Menurut Awang Kamarau, rombongan pelawat itu singgah untuk mengenali lebih dekat dan beramah mesra dengan penghuni di Rumah Panjang Teraja, setelah mengadakan aktiviti di Wasai Teraja yang terletak tidak jauh dari rumah panjang tersebut.

“Pelawat yang datang ke rumah panjang ini, akan sentiasa kami berikan layanan terbaik dengan mengetengahkan dan memperkenalkan tradisi dan budaya yang masih diamalkan seperti makanan tradisi, permainan muzik tradisional, kraf tangan dan sebagainya,” kata Awang Kamarau.

Istiadat Perkahwinan Masyarakat Iban turut menarik perhatian kalangan pengunjung ke Rumah Panjang Teraja.
Istiadat Perkahwinan Masyarakat Iban turut menarik perhatian kalangan pengunjung ke Rumah Panjang Teraja.
Para Pelawat merakamkan kenangan bersama kalangan penghuni Rumah Panjang Teraja sebelum mengakhiri sesi lawatan mereka.
Para Pelawat merakamkan kenangan bersama kalangan penghuni Rumah Panjang Teraja sebelum mengakhiri sesi lawatan mereka.

Terdahulu, taklimat ringkas mengenai rumah panjang, penghuninya, serta tradisi juga budaya masyarakat Iban telah disampaikan oleh Awang Giman Intang, selaku Ketua Biro Penerangan dan Pendidikan Rumah Panjang Teraja.

Pada lawatan itu, para pengunjung telah diceriakan dengan persembahan istiadat Miring dan adat perkahwinan masyarakat Iban, oleh ahli-ahli jawatankuasa Biro Wanita rumah panjang tersebut.

Rombongan juga berpeluang diperkenalkan dan disajikan dengan hidangan tengah hari berupa masakan tradisional seperti ayam dalam buluh dan pelbagai hidangan lainnya sebagai tanda penghormatan penghuni rumah panjang kepada para tetamu mereka.

Bagi memeriahkan lagi aktiviti lawatan rombongan, mereka juga berkesempatan menyaksikan persembahan Ngajat dan Kuntau yang mana mereka turut dibawa bersama-sama menari dan bergambar dengan mengenakan pakaian tradisi Masyarakat Iban.

ARTIKEL YANG SAMA