Tragedi Aceh kekuatan untuk terus hidup

Tragedi Aceh kekuatan untuk terus hidup

PELABUHAN KLANG, 11 Sept (Bernama) – Seorang wanita warga Indonesia yang terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam minggu lepas, menjadikan bencana tsunami di Aceh pada 2004 sebagai kekuatan untuknya terus hidup walaupun kehilangan suami tercinta dalam kejadian itu.

Erni, 25, berkata dia juga berpegang kepada kata-kata seorang ustaz di tempat asalnya di Aceh bahawa sentiasa mengingati Allah dengan berzikir walaupun terpaksa berpaut kepada dua mayat selama beberapa jam di lautan sebelum diselamatkan.

“Selepas kejadian Tsunami di Aceh, ustaz sentiasa berpesan jangan anggap ombak itu ombak tetapi anggap ia tentera Allah, minta tolong pada Allah dengan berzikir..In sya-Allah akan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah Klang di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2 pagi Khamis itu, 64 warga Indonesia dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin terkorban selepas bot sepanjang 40 kaki yang dinaiki mereka karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.

Sementara 20 orang termasuk Erni terselamat dan dia merupakan satu-satunya wanita yang terselamat dalam tragedi berkenaan.

Erni Juwita dari Aceh dibantu anggota penyelamat untuk diberikan rawatan awal di Markas Utama Mencari dan Menyelamat (SAR) di Perhentian Feri Ladang Sungei Bernam, 4 September lalu. – Bernama
Erni Juwita dari Aceh dibantu anggota penyelamat untuk diberikan rawatan awal di Markas Utama Mencari dan Menyelamat (SAR) di Perhentian Feri Ladang Sungei Bernam, 4 September lalu. – Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat Erni Juwita di Perhentian Feri Ladang Sungei Bernam pada 4 September lalu. - Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat Erni Juwita di Perhentian Feri Ladang Sungei Bernam pada 4 September lalu. – Bernama

Erni berkata kira-kira dua bulan sebelum kejadian, dia telah memberitahu suaminya yang bekerja di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur bahawa dia ingin pulang ke Aceh kerana rindukan anak lelaki mereka berusia empat tahun.

“Saya datang ke Malaysia menaiki kapal terbang kira-kira setahun lepas untuk bersama-sama suami dan bila sampai Malaysia, suami simpan pasport saya. Dua bulan lepas saya beritahu suami ingin pulang ke Aceh kerana rindukan anak dan suami tiba-tiba cakap dia nak ikut sekali pulang dan tidak mahu bekerja lagi.

“Suami saya kemudian cakap pasport saya telah hilang dan dia beritahu kami akan balik naik kapal besar. Saya ada nampak untuk bayaran pertama kali, suami bayar RM1,200 sebagai tambang untuk kami berdua dan ketika hari kejadian sebelum naik bot tekong ada minta lagi bayaran tapi saya tidak tahu berapa jumlahnya,” katanya.

Erni berkata sebelum menaiki bot, mereka telah dibawa menaiki teksi ke sebuah rumah di Perak dan di sana lelaki dan perempuan diasingkan sebelum mereka kemudian dihantar ke jeti dengan motosikal.

Wanita itu menganggarkan lebih 80 penumpang menaiki bot menyebabkan keadaan bot sesak hingga ada antara mereka terpaksa duduk di atas bumbung bot.

“Sepanjang perjalanan, saya lihat ombak besar tetapi tekong bawa bot sangat laju dan bila ombak bertambah kuat tekong semakin laju bawa bot. Keadaan ketika itu agak kecoh kerana penumpang panik.

“Tiba-tiba tidak lama selepas itu, bot terbalik menyebabkan saya tenggelam beberapa ketika namun kuasa Allah akhirnya saya berjaya timbul dan seorang penumpang lelaki telah membaling beg bajunya kepada saya untuk saya berpaut kerana saya tidak tahu berenang.

“Selepas beg itu tenggelam, dengan kuasa Allah lalu satu mayat depan saya dan saya berpaut pada mayat pertama sampai subuh, lepas itu saya terpaksa berpaut kepada mayat kedua kerana mayat pertama tenggelam sehinggalah saya diselamatkan pada pukul 11 pagi.

“Semasa di tengah laut, saya ada terjumpa suami saya tetapi bila dia cuba pegang saya, namun ombak terlalu kuat dan pegangan kami terlepas…itulah kali terakhir saya jumpa dia masih hidup,” katanya bergenang air mata.

Erni berkata tragedi bot karam tersebut meninggalkan kesan trauma kepadanya sehingga tidak dapat tidur kerana sering teringat kejadian itu dan dia kini berharap untuk segera pulang ke Aceh menemui anaknya.

Wanita itu turut menasihati rakyat senegaranya yang ingin memasuki atau meninggalkan Malaysia supaya melakukannya dengan cara yang sah dan tidak melalui ‘jalan tikus’.

“Kalau nak kerja di Malaysia kerja betul-betul, buat permit dan balik (ke kampung halaman) elok-elok, jangan lalu jalan tikus. Nyawa kita lebih berharga… memang ajal Allah yang atur tetapi kita masih boleh elakkannya. Jadikan kejadian bot karam ini sebagai pengajaran,” katanya.