Tragedi Bianchi hantui GP Jepun

Tragedi Bianchi hantui GP Jepun

TOKYO, 24 Sept (AFP) – Perlumbaan Formula Satu (F1) membuat penampilan semula penuh emosi di Grand Prix Jepun, hujung minggu ini selepas hampir setahun insiden maut membabitkan pelumba Perancis, Jules Bianchi.

Bianchi meninggal dunia Julai lalu, sembilan bulan selepas bertarung nyawa akibat kecederaan parah di kepala selepas jentera Marussia yang dipandunya merempuh kren pengangkut kenderaan di tepi litar di Suzuka.

Insiden itu mencetus tragedi hitam dalam perlumbaan empat roda berprestij dunia itu dan aksi di Suzuka nanti dijangka menjadi sesuatu yang sukar dilupakan buat semua pemandu dan pegawai pasukan.

“Jules tidak pernah hilang daripada ingatan kami semua,” kata Pengarah Sukan Manor Marussia, Graeme Lowdon. “Kamu akan pergi ke Jepun, dan kami perlu menjadi lebih kuat.

“Kami tahu ia akan menjadi sesuatu yang sukar. Namun kami juga sedar Jules adalah pelumba dan saya mahu melihat pasukan fokus kepada perlumbaan.”

Kematian Bianchi berlaku selepas hampir dua dekad tragedi yang menimpa legenda F1, Ayrton Senna di San Marino pada Mei 1994.

Insiden yang berlaku ketika keadaan litar basah akibat hujan itu memaksa perlumbaan elit itu meneliti semula peraturan mengenai keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA