Tragedi di Mekah: Baginda Sultan utus takziah

Tragedi di Mekah: Baginda Sultan utus takziah

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan takziah kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi berikutan insiden kren tumbang yang berlaku di Masjidil Haram, baru-baru ini.

Dalam perutusan tersebut, Baginda menyatakan perasaan sedih mengetahui tentang kehilangan nyawa berikutan insiden berkenaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan ucapan takziah yang amat mendalam kepada Raja Salman, kerajaan dan rakyat Arab Saudi dan seterusnya perasaan simpati terutamanya kepada ahli-ahli keluarga yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang berlaku petang Jumaat (waktu Mekah) itu telah mengorbankan lebih 100 nyawa manakala beratus lagi cedera.

Baginda Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud (dua kanan) melawat lokasi di mana sebuah kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah petang Jumaat lalu (waktu Mekah) yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa jemaah haji. – Reuters
Baginda Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud (dua kanan) melawat lokasi di mana sebuah kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah petang Jumaat lalu (waktu Mekah) yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa jemaah haji. – Reuters

Sementara itu, Raja Salman telah menyatakan ikrar untuk menyiasat apa yang menyebabkan tren berkenaan tumbang, selepas mengadakan lawatan ke tapak insiden berkenaan, kelmarin.

“Kami akan menyiasat semua sebab, kemudian mengumumkan keputusannya kepada rakyat,” ikrar Baginda.

Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam satu kenyataan, kelmarin berkata, Jabatan Pengurusan Haji kementerian berkenaan dan Pejabat Pengurusan Haji Brunei Darussalam di Arab Saudi memaklumkan bahawa semua jemaah haji negara serta pegawai dan kakitangan urusan haji Brunei dalam keadaan selamat.

Seramai 10 jemaah Malaysia turut tercedera manakala pihak Tabung Haji kini sedang berusaha mengesan lapan jemaah haji Malaysia yang masih hilang.

ARTIKEL YANG SAMA